PM Anwar jawab hadiri konsert -“Yang tegur itu ‘warak-warak’ tak pernah dengar lagu”

LocalEntertainment
20 Oct 2026 • 2:05 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan kehadirannya pada Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 Oktober lalu adalah atas jemputan penyanyi itu bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Biduanita Negara & Datuk K jemput hadiri konsert

Memetik laporan daripada Astro Awani, Anwar menyatakan beliau tetap meluangkan masa menghadiri konsert berkenaan walaupun bukan peminat tegar, selain tertarik dengan persembahan yang mengetengahkan warisan seni dan budaya tradisional negara.

“Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk K, memohon sangat-sangat supaya saya hadir. Memang betul saya bukanlah peminat tegar, tetapi saya tetap hadir walaupun agak lewat,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berseloroh supaya Ahli Parlimen Tambun itu mengajaknya bersama jika menghadiri konsert pada masa akan datang.

Image from: PM Anwar jawab hadiri konsert  -“Yang tegur itu ‘warak-warak’ tak pernah dengar lagu”

Minat dengar lagu

Mengulas lanjut, Anwar turut melahirkan rasa kagum terhadap persembahan yang mengetengahkan pelbagai elemen warisan budaya, termasuk wayang kulit, tarian tradisional serta kebudayaan Sabah dan Sarawak.

Ujarnya lagi, persembahan sedemikian membangkitkan rasa bangga terhadap kekayaan lagu klasik dan warisan budaya Melayu yang perlu terus dipelihara.

Mengulas kritikan terhadap kehadirannya pada konsert itu, Anwar mengakui beliau sememangnya mempunyai minat terhadap muzik, termasuk lagu berbahasa Melayu, Inggeris dan Hindi.

“Terima kasihlah kerana yang tegur itu yang ‘warak-warak’ yang tak pernah dengar lagu. Saya ini ada kelemahan saya kerana minat juga lagu, bukan sahaja Melayu, Inggeris. Hindustan pun saya minat,” ujar Perdana Menteri.

Image from: PM Anwar jawab hadiri konsert  -“Yang tegur itu ‘warak-warak’ tak pernah dengar lagu”

Pada 18 Oktober lalu, Anwar menyertai kira-kira 63,000 peminat menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kehadirannya turut mencuri perhatian apabila beliau sanggup berhujan dengan memakai baju hujan sepanjang menyaksikan persembahan penyanyi nombor satu negara itu.

Sumber: Astro Awani (Hasimi Muhamad)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved