Anwar Ziarah Rohana Jalil Di Hospital

23 Apr 2023 • 8:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar (kiri) menziarahi Rohana yang mengalami kebocoran usus dan sedang dirawat di ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Gambar dari Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi penyanyi era 80-an Rohana Jalil yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Jumaat lepas.

Anwar menerusi catatan di Facebook hari ini memaklumkan Rohana mengalami kebocoran usus dan tahap kesihatannya masih dipantau pasukan perubatan.

image is not available
Anwar turut meluangkan masa melawat Adzis yang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Perdana Menteri turut mengambil peluang menziarahi Adzis Ismail, rakan beliau sewaktu menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang sedang menjalani dialisis akibat masalah kesihatan yang dialami, di hospital sama.

“Saya mendoakan kedua-dua mereka dikurniakan aafiyah (kesihatan), insya-Allah,” kata Anwar.

Media sebelum ini melaporkan Rohana atau nama sebenarnya Dara Abd Jalil, 68, dimasukkan ke hospital itu pada Selasa, sebelum selamat menjalani pembedahan pada keesokannya bagi merawat kebocoran pada usus.

Difahamkan ibu kepada pelakon Kilafairy itu sudah dipindahkan ke unit dependensi tinggi (HDU) hari ini dengan pemantauan rapi doktor. - Bernama