
GOMBAK, 22 APRIL: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa menzirahi legenda bola sepak negara dan bekas pemain Selangor Khalid Ali yang disahkan menghidap barah paru-paru di kediamannya di AU4 Keramat di sini, malam ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari tiba sekitar 9.45 malam, meluangkan masa lebih 30 minit bertanya khabar kepada bekas penyerang skuad kebangsaan era 80-an yang ditemani isterinya Siti Nurkhanah Mohamad Yatin.
Menerusi lawatan tersebut, Amirudin memberi kata-kata semangat dan mendoakan semoga Khalid diberi kesembuhan.

Amirudin yang diringi Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi turut menyerahkan biskut raya dan sumbangan peribadi kepada Khalid.
Terdahulu, Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak meluangkan malam menyambut Aidilfitri dengan bertakbir raya bersama kira-kira 100 jemaah Surau At-Tarbiah, Fasa 4, Taman Melawati di sini.

Awal Ramadan lalu, Khalid disahkan menghidap barah paru-paru tahap 3A dan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Selayang.
Khalid yang juga pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan pernah mewakili pasukan bolasepak Selangor dari 1976 hingga 1985.
Pemain posisi tengah yang mewakili pasukan bolasepak Malaysia dari 1977 hingga 1985 antara tonggak utama membantu negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Russia pada 1980.
The post MB ziarah legenda bola sepak negara derita barah paru-paru appeared first on Selangorkini.

