
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan pelawak terkenal dari Afrika Selatan, Trevor Noah, menjelang persembahannya di Malaysia malam ini.
Menerusi perkongsian di Facebook yang memaparkan beberapa gambar pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri di sini, Anwar berkata, mereka sempat berbual pelbagai perkara termasuk politik, humor dan pelbagai kisah lain sambil disulami gelak tawa.
Malah, beliau turut mengambil kesempatan berkongsi beberapa idea jenaka yang boleh diketengahkan Noah ketika membuat persembahan malam ini.
“Harap tak ada yang terasa!” katanya secara berseloroh.
Mengakhiri perkongsiannya, Anwar turut menitipkan pesanan bernada gurauan kepada Noah supaya tidak bimbang sekiranya timbul sebarang perkara berbangkit sepanjang persembahannya.
“Apa pun, jangan risau Trevor, kalau apa-apa jadi malam ini, kita crowdfunding ramai-ramai!” katanya.
Kenyataan itu dipercayai menyindir usaha UMNO mengumpul dana bagi melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Noah membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi persembahan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, semalam. – 10 November 2026



