
Apa Jadi Jika Defendan Tak Bayar Duit Saman Selepas Kalah Kes Mahkamah? Ini Penjelasan Peguam
Setiap kali berhadapan dengan isu atau pertikaian undang-undang, mahkamah menjadi antara institusi yang digunakan untuk mendapatkan keadilan.
Selepas prosiding selesai, pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman oleh mahkamah.
Antara hukuman yang boleh dijatuhkan termasuklah denda, bayaran saman dan lain-lain bentuk penalti yang bersesuaian.
Oleh itu, timbul persoalan tentang apa yang akan berlaku sekiranya individu yang kalah dalam tuntutan saman tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melunaskannya.
Jadi, pihak mana yang akan menanggung bayaran saman dan kos guaman tersebut?
Peguam tampil jelaskan apa yang berlaku
Menerusi hantaran @nas.rahmann di Threads, beliau yang merupakan seorang peguam menjelaskan keadaan yang akan berlaku kepada defendan sekiranya gagal membuat pembayaran saman tersebut.
Beliau berkata ramai yang beranggapan apabila seseorang memenangi kes di mahkamah, mereka akan terus menerima wang tuntutan.
“Hakikatnya, kemenangan dalam kes tidak bermaksud pihak yang menang akan menerima bayaran secara automatik
“Sekiranya pihak yang kalah enggan membuat bayaran, langkah seterusnya perlu diambil iaitu melalui Pelaksanaan Penghakiman (Execution of Judgment),” jelasnya.
Mahkamah tidak berperanan untuk kutip wang pihak menang
Difahamkan, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk Pelaksanaan Penghakiman. Antaranya termasuk:
Saman Penghutang Penghakiman (paksa dedahkan aset)
Writ Penyitaan dan Jualan
Prosiding Garnisi (sita akaun bank)
Charging Order
Tambah @nas.rahmann, mahkamah tidak berperanan untuk mengutip semula wang bagi pihak yang menang.
Ini kerana fungsi mahkamah hanyalah untuk mendengar kes dan membuat keputusan, manakala pihak yang menang perlu memilih tindakan susulan yang sesuai untuk dilaksanakan.
Menurutnya lagi, pemilihan kaedah yang paling berkesan bergantung kepada situasi. Difahamkan, perkara itu perlu tentukan sama ada:
Adakah pihak yang kalah ada aset?
Aset dalam bentuk apa?
Kos vs hasil
“Kalau bagi dia bankrap atau gulung tikar boleh ke? Boleh, tapi prosiding kebankrapan atau gulung tikar ini prosiding baru (kes berbeza)
“Risikonya, kita mungkin akan jadi pemiutang tidak bercagar yang mana keutamaan kita lebih rendah dari bank
“Menang kes hanyalah separuh perjalanan. Separuh lagi adalah strategi untuk dapatkan duit tersebut. Semoga bermanfaat,” ujarnya lagi.



