'Apa jua keputusan SPM, itu permulaan... bukan pengakhiran'- Mat Sabu

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad membuat hantaran di Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterima bukanlah noktah penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada perjalanan masa depan setiap pelajar.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap tindakan yang diambil selepas ini akan mencorakkan masa depan pelajar.

"Kepada yang berjaya, teruskan melangkah dan jangan cepat berpuas hati. Kepada yang kurang seperti diharapkan, jangan putus asa, rezeki dan kejayaan setiap orang berbeza jalannya.

"Negara memerlukan anak muda yang bersemangat, berilmu dan berdaya saing. Teruskan usaha, kerana masa depan Malaysia ada di tangan anda semua," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad mengumumkan seramai 13,779 atau 3.55 peratus daripada 395,740 calon yang menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 376 calon mendapat gred A+ bagi semua mata pelajaran.

Angka itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding hanya 24 calon yang mendapat keputusan serupa pada tahun sebelumnya.

Mohamad berkata, pencapaian keputusan SPM merupakan sebahagian daripada usaha, pengorbanan dan perjalanan panjang yang telah dilalui oleh semua calon sepanjang tempoh pengajian.

"Tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan SPM 2025!" ujarnya.