Apa khabar orang Negeri Sembilan?

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Apa khabar orang Negeri Sembilan?

Gulai lemak cili api memang sinonim dengan masakan terkenal Negeri Sembilan. Rasa pedas dan lemak memang memikat selera.

Kena pula dimasak dengan itik, ayam atau daging salai memang terangkat. Kalau ada kuah lebih, pagi esoknya dicicah pula dengan cekodok atau roti canai memang terangkat.

Lauk kampung itu menjadi santapan utama ketika pertemuan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias beberapa hari selepas gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri.

Gambar mereka menikmati makan tengah hari dimuat naik oleh Jalaludin di media sosial bagaikan memadamkan terus segala tohmahan ekoran ketidakhadiran ADUN Pertang tersebut ketika upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar.

“Jalan terus, sekarang masa untuk bekerja,” tulis Jalaludin pada keterangan gambar tersebut. Kejayaan BN yang bekerjasama dengan PN merampas semula Negeri Sembilan disambut dengan penuh gembira oleh rakyat.

Kemenangan ketika kemelut istana dan Undang Yang Empat masih belum selesai itu diraikan di setiap pelosok negeri.

Sangkaan kita, apabila dapat kerajaan baharu segalanya akan menemui titik persamaan dan kekusutan yang sedang melanda Seri Menanti bakal terlerai tetapi lain pula ceritanya.

Rabu lalu jentera kerajaan negeri bagaikan bergegar apabila helaian kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tersebar.

Surat cara proklamasi yang diputuskan secara sebulat suara semua Ahli Exco Kerajaan Negeri pada 15 September lalu itu antara lain menyatakan bahawa Tuanku Muhriz diturunkan daripada takhta dan digantikan dengan Tuanku Nadzaruddin berkuat kuasa serta merta.

Keesokan harinya, Dewan Keadilan dan Undang mengeluarkan kenyataan menyatakan kedudukan Tuanku Muhriz kekal sah dan menolak keputusan MMKN kerana kekosongan tidak berlaku selagi jawatan itu dipegang secara sah.

Apapun puncanya, kerja mengurus negeri perlulah dibuat dengan penuh kejujuran dan pendirian yang kukuh. Sudah tentu rakyat mahukan kepimpinan yang memacu Negeri Sembilan ke arah lebih maju, stabil serta aman makmur.

Persoalan rakyat sampai bila perkara ini harus berlanjutan perlulah dijelaskan dan diselesaikan segera dengan bijaksana dan penuh hikmah.

Golongan marhaen seperti kami hanya mahu menjalani kehidupan yang seadanya di bawah kesaksamaan, kestabilan dan keadilan payung Diraja.

Walaupun saya berasal dari Melaka, Negeri Sembilan dekat di hati kerana isteri dan keluarga mentua berasal dari daerah beradat, Rembau.

Keenakan masak lemak dan roti canai air tangan ibu mentua telah memikat hati saya. Oleh sebab itu, bila terpandangkan gambar Jalaludin dan Ismail sedang makan tengah hari, saya mudah terliur kerana telah merasai bagaimana hebatnya masakan orang Negeri Sembilan.

The post Apa khabar orang Negeri Sembilan? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved