PERANG antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran membuka mata dunia tentang satu hakikat penting iaitu kekuatan besar tidak semestinya menjamin kemenangan mudah.
Selama ini AS sering dilihat sebagai kuasa global yang hampir mustahil ditewaskan. Namun dalam situasi ini, Iran membuktikan bahawa strategi, kesabaran dan jaringan sokongan mampu menandingi kehebatan ketenteraan semata-mata.
Iran tidak perlu menewaskan AS secara konvensional untuk memberi tekanan, sebaliknya mereka menggunakan kelebihan geopolitik, hubungan dengan kuasa lain serta kekuatan dalaman negara.
Ini menunjukkan bahawa dalam dunia moden, peperangan bukan lagi sekadar soal siapa paling kuat tetapi siapa paling bijak mengatur langkah.
Kesilapan besar AS ialah memandang rendah lawannya. Sikap terlalu yakin dan angkuh menyebabkan mereka tersilap menilai keupayaan Iran.
Kalau kita renung kembali, apa berlaku dalam perang AS-Iran ini sebenarnya berkait rapat dalam kehidupan seharian kita. Kita mungkin merasakan diri lebih hebat, lebih bijak, lebih kuat atau lebih berpengalaman sehingga memandang rendah orang lain. Tanpa kita sedari setiap individu mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak semestinya kelihatan pada luaran.
Kisah perang AS-Iran ini juga mengajar bahawa sokongan dan hubungan sangat penting. Iran tidak berdiri sendirian sebaliknya mendapat kelebihan melalui kerjasama strategik.
Begitu juga dalam hidup kita, kejayaan juga jarang dicapai secara bersendirian. Sokongan keluarga, rakan-rakan dan komuniti sering menjadi faktor penentu kejayaan kita.
Selain itu, konflik AS-Iran turut mengingatkan kita tentang nilai ketahanan. Iran bertahan walaupun berdepan tekanan besar. Mereka membuktikan bahawa daya tahan mental dan kesabaran adalah senjata paling ampuh dalam menentang musuh yang datang.
Sama juga dalam kita menghadapi cabaran hidup sama ada dalam pelajaran, pekerjaan atau hubungan, ketahanan inilah yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan kita.
Oleh itu, janganlah kita mudah merasa diri terlalu kuat atau memandang rendah orang lain. Dalam dunia yang kompleks, kebijaksanaan, kerjasama dan ketahanan jauh lebih bermakna daripada kekuatan semata-mata.


