Hubungan Malaysia–Iran dijangka diperkukuh melalui kerjasama pelbagai sektor

4 Apr 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Valiollah Mohammadi

KUALA NERUS – Hubungan dua hala antara Iran dan Malaysia dijangka terus diperkukuh melalui kerjasama strategik yang lebih meluas merentasi pelbagai sektor pada masa hadapan.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, masih terdapat banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara termasuk kerjasama di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, beliau optimis hubungan serta kerjasama antara Iran dan Malaysia akan terus berkembang, termasuk hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

“Insya-ALLAH, kita akan melihat pertumbuhan hubungan antara rakyat Iran dan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, selepas kemerdekaan Malaysia, Iran merupakan antara negara terawal yang mengiktiraf Malaysia dan seterusnya menjalin hubungan diplomatik rasmi.

“Sejak itu, kita berusaha menjadi rakan baik antara satu sama lain. Kita berkongsi banyak persamaan serta pengalaman. Sebagai dua negara Islam, kita boleh bekerjasama,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua negara juga merupakan anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk memperkukuh kerjasama di peringkat pelbagai hala.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan perpaduan dalam kalangan negara Islam amat penting bagi menghadapi isu semasa, khususnya yang melibatkan Israel.

Menurutnya, kehilangan nyawa orang awam yang tidak berdosa di Gaza dan kawasan lain menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan bersama serta pendirian yang lebih tegas dalam kalangan negara Islam.

“Umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu. Musuh utama ketika ini ialah Israel yang telah membunuh ramai orang awam tidak berdosa di Gaza dan tempat lain.

“Insya-ALLAH, dengan perpaduan ummah, kita mampu memberikan respons yang kuat supaya tiada lagi serangan terhadap negara Islam,” katanya.