
SETIAP kali Ogos menjelang, kita berbicara tentang kemerdekaan. Jalur Gemilang dikibarkan megah, lagu-lagu patriotik kembali bergema dan kisah perjuangan tokoh terdahulu diulang sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka membebaskan negara daripada penjajahan.
Namun, di sebalik semangat itu, ada satu persoalan yang jarang kita tanyakan kepada diri sendiri. Setelah hampir tujuh dekad negara ini merdeka, adakah hidup kita juga semakin merdeka?
Kita bebas memilih pekerjaan, bebas bersuara, bebas bergerak dan bebas mengejar impian.
Namun, dalam kebebasan itu, mengapa semakin ramai yang hidup dalam tekanan, dibelenggu kebimbangan kewangan, terperangkap dalam perlumbaan yang tidak berpenghujung dan kehilangan ketenangan?
Mengapa ada yang memiliki rumah yang selesa, kerjaya yang baik dan kehidupan yang kelihatan sempurna, tetapi masih sukar menikmati kebahagiaan?
Hakikatnya, musuh yang kita hadapi tidak lagi datang dengan senjata atau kapal perang, tetapi ia menjelma sebagai tekanan hidup, budaya materialistik, ketagihan kepada dunia digital, keresahan emosi dan perlumbaan mengejar pengiktirafan sehingga manusia semakin jauh daripada makna kehidupan yang sebenar.
Sesungguhnya, negara boleh mencapai kemerdekaan politik dan ekonomi, tetapi rakyatnya belum benar-benar merdeka jika jiwa mereka masih terpenjara oleh rasa takut, iri hati, kebencian dan kebimbangan yang tidak berkesudahan.
Inilah sebabnya mengapa makna kemerdekaan perlu difahami semula. Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi bebas daripada segala yang menghalang manusia untuk hidup dengan aman, bermaruah dan sejahtera.
Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati, membawa mesej yang amat signifikan dalam konteks ini.
Kesejahteraan bukan sekadar tentang pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal, tetapi tentang sejauh mana rakyat benar-benar menikmati kehidupan yang berkualiti.
Hakikat ini turut disokong oleh Indeks Kesejahteraan Malaysia (MyWI) 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Laporan tersebut menunjukkan Indeks Kesejahteraan Malaysia meningkat kepada 121.3 mata pada tahun 2023 berbanding 120.4 mata pada tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan dalam dimensi kesejahteraan ekonomi dan sosial.
Indeks ini mengukur kesejahteraan melalui pelbagai aspek kehidupan seperti keluarga, kesihatan, pendidikan, keselamatan, penyertaan sosial, tadbir urus dan alam sekitar.
Ini membuktikan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak lagi boleh diukur hanya melalui angka pertumbuhan ekonomi.
Sebaliknya, kemajuan yang sebenar ialah apabila rakyat mampu menikmati kehidupan yang lebih tenang, lebih sihat, lebih bermaruah dan lebih bermakna.
Kita menikmati lebih banyak kemudahan berbanding generasi terdahulu, namun semakin ramai yang hidup dalam keletihan emosi, dihimpit tekanan dan kehilangan ketenangan.
Kita mempunyai teknologi yang mampu menghubungkan manusia dalam sekelip mata, tetapi hubungan sesama manusia semakin renggang.
Kemerdekaan digital bukan bermaksud menjauhkan diri daripada teknologi, tetapi memiliki kebijaksanaan untuk mengawalnya.
Kita perlu kembali menjadikan teknologi sebagai alat yang membantu kehidupan, bukannya membiarkan kehidupan dikawal oleh teknologi.
Kemerdekaan juga perlu dilihat daripada sudut kewangan. Selama ini, ramai beranggapan bahawa kebebasan kewangan hanya dimiliki oleh mereka yang berpendapatan tinggi atau memiliki kekayaan yang besar.
Hakikatnya, kebebasan kewangan lebih dekat dengan kebijaksanaan mengurus rezeki daripada jumlah pendapatan yang dimiliki.
Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa nisbah hutang isi rumah Malaysia kekal sekitar 84 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan sebahagian besar terdiri daripada pembiayaan perumahan dan pembelian kenderaan.
Walaupun kedudukan kewangan isi rumah secara keseluruhannya masih berdaya tahan, realiti ini mengingatkan bahawa cabaran sebenar bukanlah kewujudan hutang semata-mata, tetapi sejauh mana setiap individu mampu mengurus komitmen kewangan secara berhemat agar tidak mengorbankan kesejahteraan diri dan keluarga.
Kemerdekaan kewangan bukan bererti hidup tanpa hutang atau memiliki kekayaan yang luar biasa.
Sebaliknya, ia bermaksud berbelanja mengikut kemampuan, mengelakkan pembaziran, membuat perancangan masa hadapan dan mensyukuri setiap rezeki yang dikurniakan.
Kemerdekaan yang sebenar juga tidak mungkin lahir tanpa kemerdekaan emosi.
Dalam dunia yang bergerak begitu pantas, manusia semakin cenderung mengejar produktiviti sehingga terlupa bahawa dirinya juga memerlukan ruang untuk berehat, merenung dan menikmati kehidupan.
Tekanan kerja, tuntutan prestasi dan keinginan untuk sentiasa kelihatan berjaya akhirnya menjadikan ramai hidup dalam keletihan yang berpanjangan.
Kemerdekaan emosi bukan bererti kehidupan yang bebas daripada cabaran, tetapi kemampuan mengurus cabaran tersebut dengan matang.
Ia ialah keberanian menerima kekurangan diri, memaafkan kesilapan lalu, mengawal kemarahan dan tidak membiarkan kebencian menguasai hati.
Hakikatnya, kesejahteraan sesebuah negara bermula daripada kesejahteraan keluarga. Rumah yang dipenuhi kasih sayang akan melahirkan anak-anak yang yakin, berakhlak dan berdaya tahan.
Sebaliknya, rumah yang dipenuhi tekanan, pertengkaran dan pengabaian akan melahirkan generasi yang sukar menikmati kesejahteraan walaupun hidup dalam sebuah negara yang aman.
Begitu juga dengan masa. Semakin moden kehidupan, semakin mahal harga sebuah masa. Kita bekerja lebih lama untuk menikmati kehidupan yang kononnya lebih baik, tetapi akhirnya kehilangan masa untuk bersama keluarga.
Jika seseorang memiliki segala-galanya kecuali masa untuk dirinya, keluarganya dan Tuhannya, adakah dia benar-benar merdeka?
Kemerdekaan bukan sekadar bebas, tetapi bebas menjadi insan yang lebih bermakna.
Bebas menjadi insan yang lebih tenang, ibu bapa yang sentiasa hadir dalam kehidupan anak-anak, jiran yang lebih prihatin, pekerja yang berintegriti, rakyat yang bertanggungjawab dan hamba Allah yang sentiasa bersyukur.
Tanggal 31 Ogos akan terus dikenang sebagai hari negara ini dibebaskan daripada penjajahan. Namun, kemerdekaan tidak seharusnya berhenti sebagai sebuah peristiwa dalam lipatan sejarah.
Ia mesti terus hidup dalam cara kita berfikir, bekerja, mengurus emosi, menghargai keluarga, membelanjakan rezeki dan menghormati sesama manusia.
Sesungguhnya, kemerdekaan tidak hanya diukur pada usia sebuah negara yang bebas daripada penjajahan, tetapi pada keupayaannya membina masyarakat yang hidup dengan aman, bermaruah dan sejahtera.
Apabila rakyat tidak lagi dibelenggu kebencian, tidak dihimpit keresahan yang berpanjangan, tidak diperhambakan oleh kerakusan material dan tidak kehilangan nilai kemanusiaan, ketika itulah kemerdekaan menemukan maknanya yang sebenar.
Negara ini telah lama merdeka, namun perjuangan untuk memerdekakan jiwa tidak pernah berakhir.
Ia menuntut komitmen setiap daripada kita untuk membina sebuah masyarakat yang saling menghormati, bersyukur, berempati dan mengutamakan kesejahteraan bersama.
Kemerdekaan yang paling agung bukanlah kebebasan yang sekadar terpahat dalam lembaran sejarah, tetapi kebebasan yang dirasai dalam hati setiap insan. Itulah kemerdekaan yang sebenar, merdeka itu apabila jiwa sejahtera. – UTUSAN
ZAIHA Ahmad ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
The post Apa makna merdeka? appeared first on Utusan Malaysia.


