
Apalah ertinya kemerdekaan jika perpaduan mula retak akibat keangkuhan, prejudis dan kebencian?
Kemerdekaan tidak hanya bermaksud bebas daripada penjajahan. Lebih penting, ia menuntut kemampuan rakyat membebaskan diri daripada sikap yang merosakkan hubungan sesama manusia.
Kesejahteraan pula terserlah melalui cara kita menghormati jiran, membantu insan yang memerlukan serta menerima perbezaan sebagai sebahagian daripada kehidupan bersama.
Murid pelbagai kaum perlu dibiasakan untuk belajar, bermain, berkongsi dan bekerjasama tanpa dibelenggu prasangka. Dari sinilah bibit perpaduan tumbuh sebelum diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam membina perpaduan, adab sering dianggap sebagai perkara kecil sedangkan nilai inilah yang membentuk cara kita berinteraksi.
Tanggungjawab mendidik adab bukan hanya terletak pada keluarga atau sekolah tetapi perlu diteruskan dalam komuniti supaya menjadi budaya kehidupan.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang menjelaskan manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali.
Kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang perlu diurus dengan penuh kebijaksanaan.
Hormat-menghormati, berbudi bahasa, menjaga tutur kata serta menghargai perbezaan menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat. Malangnya, hakisan adab semakin jelas melalui kes buli, keganasan dan pertelingkahan di media sosial.
Ruangan komen yang sepatutnya menjadi tempat bertukar pandangan kadangkala bertukar menjadi medan cacian, penghinaan dan kebencian.
Pesanan Rasulullah SAW amat jelas: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Adab yang baik perlu lahir daripada nilai dalaman yang kukuh. Dalam kerangka masyarakat madani, ihsan wajar menjadi antara asas penting kerana mengajar kita melihat orang lain dengan kasih sayang, belas kasihan dan rasa tanggungjawab, bukan sebagai ancaman atau pesaing.
Nilai tersebut perlu berjalan seiring dengan integriti dan keadilan sosial. Kesejahteraan sukar dicapai sekiranya masih ada pihak yang berasa dipinggirkan atau dinafikan hak. Oleh itu, prinsip keadilan hendaklah berlandaskan Perlembagaan
Persekutuan, keluhuran undang-undang serta semangat saling menghormati.
Gotong-royong, tolong-menolong dan muafakat pula perlu terus menjadi amalan.
Keluarga menjadi tempat pertama membentuk akhlak, sekolah memperkukuh nilai, manakala komuniti menyediakan ruang untuk generasi muda mempraktikkannya.
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia jangan sekadar menjadi ritual tahunan. Mengibarkan bendera mudah dilakukan tetapi memerdekakan jiwa daripada prejudis, kebencian dan keangkuhan memerlukan kesungguhan.
Kemerdekaan sebenar terserlah apabila kita memilih untuk beradab walaupun mempunyai kebebasan untuk melakukan sebaliknya. Maka, selain bertanya apa yang negara berikan kepada kita, tanyalah juga apakah nilai yang telah kita sumbangkan kepada tanah air.
Mulakan dengan perkara mudah seperti hentikan budaya buli, elakkan sentimen perkauman di media sosial, jaga tutur kata dan bertegur sapa dengan jiran.
Patriotisme bukan sekadar laungan atau kibaran bendera tetapi terzahir melalui akhlak, amanah dan tindakan.
Negara menjadi kuat apabila kecerdikan disertai adab, integriti dan nilai kemanusiaan.
Jalur Gemilang yang berkibar akan lebih bermakna apabila nilai yang melambangkan kemerdekaan turut hidup dalam jiwa setiap warganegara. – UTUSAN
PROFESOR MADYA. DR. LUTFAN JAES
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
The post Perpaduan bermula dengan adab appeared first on Utusan Malaysia.


