
ISU lanjutan kontrak interim bagi sebahagian besar kakitangan perkhidmatan awam yang dilaksanakan secara meluas sejak 2024 kini memerlukan penyelesaian lebih tuntas.
Walaupun pendekatan itu pada awalnya dilihat sebagai langkah pragmatik dalam mengurus sumber kewangan negara, kebergantungan berpanjangan tanpa hala tuju kerjaya yang jelas bukan penyelesaian mampan.
Sebahagian kakitangan interim melaksanakan tugas setara dengan pegawai tetap, malah ada yang menggalas tanggungjawab lebih mencabar.
Namun, ketidakpastian masa depan, peluang kenaikan pangkat yang terhad serta ganjaran yang tidak sepadan boleh menjejaskan motivasi dan kesetiaan mereka.
Jika berlarutan, keadaan ini berisiko mendorong kakitangan berpengalaman meninggalkan perkhidmatan awam untuk menyertai sektor swasta, badan berkanun atau organisasi antarabangsa yang menawarkan pendapatan serta jaminan kerjaya lebih menarik.
Penghijrahan tenaga kerja sedemikian bukan sahaja menyebabkan kehilangan bakat, malah menjejaskan kecekapan pentadbiran. Pegawai yang telah memahami sistem, prosedur dan selok-belok tugas memerlukan masa untuk digantikan.
Kerajaan juga berdepan pembaziran pelaburan modal insan kerana latihan dan pengalaman yang dibina selama ini turut hilang apabila mereka berhenti.
Kekurangan tenaga kerja pula boleh mengganggu operasi harian, melambatkan proses kelulusan serta menambah beban kepada kakitangan sedia ada. Keadaan itu akhirnya boleh menjejaskan moral dan produktiviti organisasi.
Justeru, kerajaan perlu merangka skim pekerjaan yang lebih mampan dengan struktur gaji kompetitif, laluan kerjaya jelas serta faedah kebajikan bersesuaian.
Pada masa sama, mekanisme penilaian prestasi yang telus dan berasaskan merit wajar diwujudkan supaya kakitangan interim berprestasi tinggi boleh dipertimbangkan untuk penyerapan secara berkala.
Kepastian kerjaya bukan sekadar soal kebajikan pekerja, sebaliknya pelaburan strategik untuk mengekalkan tenaga berkemahiran dalam perkhidmatan awam.
Jentera kerajaan yang cekap memerlukan kakitangan yang dihargai, bermotivasi dan yakin terhadap masa depan mereka.
Sudah tiba masanya kerajaan memberikan hala tuju yang lebih jelas kepada kakitangan interim demi memastikan kesinambungan perkhidmatan awam yang berkualiti dan diyakini rakyat. – UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan,
Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)
The post Apa masa depan kakitangan interim? appeared first on Utusan Malaysia.

