
Ramai menganggap kerjaya sebagai juruterbang menawarkan kehidupan yang mewah, namun di sebalik gambaran tersebut tersimpan pelbagai cabaran dan pengorbanan yang perlu dilalui.
Bukan mudah untuk bergelar juruterbang apabila perjalanan menuju kerjaya itu penuh dengan perubahan hala tuju, kesukaran mendapatkan pekerjaan serta tuntutan mengimbangi kerjaya dan keluarga.
Namun, bagi Nur Amira Nur Arzemi, 35, segala cabaran tersebut tidak pernah memadamkan minatnya terhadap dunia penerbangan sehingga akhirnya dia bergelar juruterbang kargo bersama Raya Airways.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Amira pada awalnya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan menerusi program tajaan Mara yang menawarkan dua tahun pengajian di Malaysia dan dua tahun di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, ketika berada di pertengahan pengajian, penajaan tersebut ditarik balik oleh Mara, menyebabkan beliau terpaksa memikirkan semula hala tuju pendidikannya.
“Saya fikir apa lagi yang saya nak buat. Minat menjadi juruterbang memang dah ada, cuma masa itu saya tak tahu macam mana nak masuk bidang ini,” katanya kepada Seri.
Minat terhadap penerbangan sebenarnya sudah berputik sejak kecil. Dia juga pernah menyimpan impian untuk menyertai tentera udara, namun hasrat tersebut tidak kesampaian kerana mengalami rabun.

Peluang untuk mengejar impian itu akhirnya muncul apabila seorang rakannya memberikan maklumat mengenai sekolah penerbangan daripada Department of Civil Aviation (DCA), yang kini dikenali sebagai Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM).
Berbekalkan maklumat tersebut, dia menyertai sekolah penerbangan pada tahun 2010 dan menamatkan latihan pada tahun 2013.
Namun, tamat latihan bukan bermakna dia terus mendapat pekerjaan sebagai juruterbang apabila peluang dalam industri penerbangan ketika itu agak terhad, sama ada di Malaysia mahupun luar negara.
Tidak mahu hanya menunggu peluang, dia bekerja sebagai pentadbir di sebuah kelab penerbangan sebelum mengikuti kursus jurulatih penerbangan dan berkhidmat sebagai jurulatih selama kira-kira lima tahun.
Pengalaman tersebut menjadi asas penting dalam membina kemahiran dan keyakinannya sebelum akhirnya menyertai Raya Airways sebagai juruterbang kargo pada Julai 2019.
Walaupun laluan yang dilaluinya tidak seperti yang dirancang, minatnya untuk terbang tidak pernah padam.
Memilih penerbangan kargo demi keluarga
Berbanding dengan penerbangan komersial yang membawa penumpang, Nur Amira memilih bidang penerbangan kargo kerana mahu mengimbangi tuntutan kerjaya dan kehidupan keluarga.
Ketika menyertai Raya Airways pada 2019, dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Pada ketika itu, operasi kargo dilihat lebih sesuai kerana tidak banyak melibatkan penerbangan yang memerlukan bermalam di luar negara.

Namun, keadaan berubah ketika pandemik Covid-19 apabila penerbangan kargo terus beroperasi untuk memastikan bekalan penting dapat dihantar ke pelbagai destinasi.
Tempoh tersebut menjadi antara fasa paling mencabar apabila waktu kerja menjadi lebih panjang dan dia terpaksa meninggalkan rumah ketika hari masih gelap sebelum pulang dalam keadaan yang sama.
“Ada masa keluar rumah waktu gelap dan balik pun waktu gelap. Waktu kerja memang panjang,” katanya.
Selepas pandemik dan operasi Raya Airways semakin berkembang, penerbangan yang memerlukan bermalam turut menjadi lebih kerap.
Bagaimanapun, dia menganggap jadual penerbangan kargo masih membolehkannya mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.
Sepanjang bertugas, sebahagian besar penerbangannya melibatkan destinasi ke China termasuk Nanjing, Shenzhen, Ningbo dan Hong Kong, khususnya kawasan perindustrian.
Selain membawa barangan komersial termasuk hasil pertanian seperti durian, beliau turut terlibat dalam penerbangan kemanusiaan ke Myanmar.
Ketika pandemik Covid-19 pula, dia turut terlibat dalam membawa masuk bekalan vaksin ke Malaysia ketika operasi penerbangan komersial masih terhad.

Memerlukan pengorbanan masa
Di sebalik kerjaya juruterbang yang sering dilihat mewah, Nur Amira mengakui masa bersama keluarga menjadi antara pengorbanan terbesar yang perlu dilakukan.
Sebagai seorang isteri dan ibu, dia perlu merancang urusan keluarga mengikut jadual penerbangan yang diterima setiap hujung bulan.
Namun, perancangan itu boleh berubah apabila dia dipanggil bertugas pada saat akhir ketika tempoh bersiap sedia.
“Dua jam sebelum penerbangan pun mereka boleh telefon dan minta kita bertugas. Sebab itu semua kena rancang awal,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan waktu rehat dan masa bersama keluarga adakalanya terpaksa dikorbankan.
Dia pernah tiba di rumah sekitar 6.30 pagi selepas berjaga sejak 5 petang hari sebelumnya, namun masih perlu menguruskan anak sebelum berehat.
Cabaran berjauhan dengan keluarga turut hadir bersama kebimbangan kerana sebagai kru penerbangan, dia tidak sentiasa dapat berada di sisi keluarga sekiranya berlaku sesuatu ketika sedang bertugas.
Malah, dia pernah melalui pengalaman paling sukar apabila tidak sempat bertemu arwah bapanya buat kali terakhir kerana sedang bekerja.
Dia menjadi ahli keluarga terakhir yang tiba ketika jenazah bapanya sudah berada di rumah.

Namun, pengalaman tersebut tidak pernah membuatkan beliau berputus asa dalam kerjayanya.
Sebaliknya, sokongan kuat daripada suami dan keluarga menjadi sumber kekuatan untuk beliau terus bertahan dan meneruskan kerjaya sebagai juruterbang kargo.
Tenang ketika berdepan kecemasan
Menurut Nur Amira, menjadi juruterbang bukan sekadar memerlukan kemahiran mengendalikan pesawat, tetapi turut menuntut ketenangan dan keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi tidak dijangka.
Sepanjang kerjayanya, dia pernah melalui keadaan pesawat mengalami masalah dan berdepan situasi yang memerlukan tindakan segera.
Dalam situasi tersebut, tiada ruang untuk panik kerana setiap tindakan perlu dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan penerbangan.
“Kalau berlaku kecemasan, kita memang tidak ada pilihan untuk takut. Kita kena paksa diri tenang sebab kalau tidak tenang memang tidak boleh buat keputusan,” jelasnya.
Nur Amira berkata, risiko yang wujud dalam kerjaya tersebut turut membuatkan dia dan suami memahami kepentingan menghargai setiap masa bersama sebelum dia berangkat bekerja.
Malah, sebelum keluar bertugas, mereka menjadikan kebiasaan untuk bersalaman dan saling bermaafan kerana menyedari tugas sebagai juruterbang membawa tanggungjawab serta risiko yang besar.
Kesihatan menjadi keutamaan
Selain kemahiran dan pengalaman, kesihatan menjadi antara aspek paling penting bagi memastikan seorang juruterbang kekal layak untuk menerbangkan pesawat.
Setiap juruterbang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, termasuk pemeriksaan tahunan bagi memastikan keadaan fizikal berada pada tahap yang ditetapkan.
Ujarnya, masalah kesihatan tertentu terutama melibatkan jantung boleh menjejaskan kelayakan seseorang untuk terus terbang, manakala kecederaan serius seperti patah kaki atau kehilangan anggota badan turut boleh menyebabkan seseorang tidak lagi dibenarkan menerbangkan pesawat.
“Kesihatan memang kena jaga, terutama kesihatan jantung. Kalau sudah ada masalah, kita mungkin perlu fikir untuk buat kerja lain,” katanya.
Justeru, dia menitikberatkan penjagaan kesihatan dengan mengawal pemakanan, mengambil makanan tambahan, bersenam serta memastikan BMI berada pada tahap yang ditetapkan.

Rehat yang mencukupi juga menjadi keutamaan, terutama kerana kebanyakan penerbangan kargo yang dikendalikan berlangsung pada waktu malam.
Menjaga kesihatan bukan sekadar untuk kekal cergas, sebaliknya penting bagi memastikan tubuh dan minda sentiasa berada dalam keadaan baik ketika menjalankan tugas yang melibatkan keselamatan penerbangan.
Impian bergelar kapten
Selepas hampir tujuh tahun menerbangkan pesawat kargo bersama Raya Airways, Nur Amira kini menyasarkan langkah seterusnya untuk bergelar command atau kapten.
Ketika ini, dia berada di peringkat Pegawai Pertama Kanan (Senior First Officer) dan sedang mengumpulkan jam penerbangan yang diperlukan.
Menurutnya, dia perlu mencapai kira-kira 4,000 jam penerbangan, selain menjalani latihan command dan latihan simulator selama kira-kira sebulan.
Namun, jumlah jam penerbangan sahaja tidak mencukupi, kerana seorang kapten perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran kepimpinan yang baik untuk membuat keputusan ketika mengendalikan penerbangan.

“Kalau First Officer, kita buat apa-apa, kita pandang kiri, nampak kapten. Tapi bila kapten, apa-apa keputusan memang kapten yang kena buat. Satu kapal itu tanggungjawab kapten,” katanya.
Berkhemah ruang lepas tekanan
Nur Amira gemar meluangkan masa bersama keluarga melalui aktiviti berkhemah dan paragliding.
Minat terhadap aktiviti berkhemah sudah bermula sebelum dia menyertai Raya Airways, malah sebelum aktiviti tersebut menjadi popular dalam kalangan masyarakat.
The post Di sebalik glamor ada pengorbanan – Nur Amira appeared first on Utusan Malaysia.

