
MOSCOW Sebuah pesawat pengangkut tentera Amerika Syarikat (AS) yang digunakan Tentera Udara AS terbang dari Latvia ke Lapangan Terbang Vnukovo di Moscow pada awal Selasa, menurut data Flightradar24.
Data itu menunjukkan pesawat berkenaan dipercayai terbang ke Latvia dari Pangkalan Bersama Andrews, sebuah kemudahan ketenteraan AS berhampiran Washington DC.
Data tersebut tidak menunjukkan siapa yang berada di dalam pesawat berkenaan, sebuah pesawat besar Boeing C-17 Globemaster III atau sebab pesawat itu terbang ke Russia.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov enggan mengulas apabila ditanya mengenai penerbangan itu, dengan berkata, beliau tidak mempunyai maklumat sedemikian.
Pentadbiran AS tidak memberikan sebarang komen secara terbuka mengenai perkara itu.
Pegawai AS telah beberapa kali mengunjungi Russia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada pegawai awam atau pegawai tentera berada di dalam pesawat tersebut.
Flightradar24, sebuah laman web yang diasaskan oleh dua peminat penerbangan Sweden, menggunakan sistem penerima pesawat berasaskan sumbangan orang ramai untuk memetakan lokasi dan laluan penerbangan pesawat di seluruh dunia.
AFP tidak dapat mengesahkan data tersebut dengan segera. – AFP
The post Apa motif pesawat tentera AS mendarat lapangan terbang Moscow? appeared first on Utusan Malaysia.






