
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tragedi bas membawa 44 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pastinya menjadi salah satu sejarah hitam buat negara apabila seramai 15 pelajar terkorban dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik pada awal pagi Isnin (9 Jun).
Bukan hanya ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terkesan, kejadian itu juga telah menyentuh hati dan jiwa masyarakat di seluruh negara.
Malah, kebanyakan rakyat ingin mengetahui apakah punca berlakunya tragedi menyayat hati itu dan tidak kurang juga segelintir pihak yang menyalahkan keadaan jalan di sana yang didakwa mereka terlalu gelap pada waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan.
Pemandu lori kongsi keadaan Jalan Gerik-Jeli pada waktu malam
Difahamkan, keadaan Jalan Gerik-Jeli yang gelap-gelita pada waktu malam bukanlah sesuatu yang baru, malah sebelum ini seorang pemandu lori pernah tampil menunjukan keadaan jalan tersebut pada bulan lalu.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @lanjenabkavi, dia membuat video tersebut kerana ada individu-individu yang mendakwa bahawa jalan berkenaan tidak lah terlalu gelap.
Bukti tersebut ditunjukkan oleh lelaki terbabit dipercayai selepas tularnya berita seekor anak gajah yang mati dirempuh sebuah treler pada 11 Mei lalu sehingga meraih perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Dah pasang lampu tinggi masih tak nampak jalan dengan jelas
Dalam video tersebut, penglihatan pemandu lori itu agak terbatas kerana jalan yang terlalu gelap meskipun dia telah menggunakan lampu tinggi.
Jalan tersebut hanya kelihatan jelas selepas lelaki terbabit menghidupkan lampu ‘spotlight’ yang dipasang pada lori yang dipandunya.
Bukan hanya keadaan jalan terbabit yang kelihatan gelap, malah permukaan jalan tersebut juga dilihat seakan tidak rata kerana penuh dengan kesan tampal.
“Berapa banyak jalan di Malaysia yang gelap dan berbahaya tapi tiada lampu jalan,” tulisnya di kapsyen.
@lanjenabkavi Jenis cakap tak pakai otak Dan tak pernah lalu memang senang. Lepas tu ada menteri pon sekupang tak boleh pakai. Letak sportligh dia saman tp lampu jalan tak nak juga pasang. Berapa banyak jalan kat Malaysia ni yg gelap Dan bahaya tp takde lampu jln. Cuba korang tag si bahbi eyka tu bg dia tengok sat
♬ original sound – AZLAN ADNAN
Video keadaan jalan Gerik-Jeli kembali raih perhatian ramai
Video yang dimuat naik pemandu lori itu pada 19 Mei lalu itu kemudiannya kembali sohor selepas ruangan komen sekali lagi dihujani pelbagai respon dan komen baharu sejak semalam (10 Jun).
Hal ini berkemungkinan kerana tragedi kemalangan bas yang membawa penuntut UPSI itu yang turut berlaku berdekatan kawasan jalan itu.
Kebanyakan pengguna media sosial juga meminta agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan membaiki dan menaiktaraf jalan tersebut.
JKR akan pasang 385 lampu jalan jenis solar di Jalan Gerik-Jeli
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bakal memasang sebanyak 385 lampu jalan jenis solar di laluan JRTB Gerik-Jeli termasuk di kawasan lokasi nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI itu.
Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, keputusan pemberian tender bagi pemasangan lampu jalan tersebut dijangka diketahui pada Julai depan.
Menurutnya, kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin itu bukan berpunca daripada keadaan jalan yang gelap, sebaliknya kelajuan kenderaan seperti yang dilaporkan oleh pihak polis.
“Lampu jalan serta keadaan gelap bukan punca utama kemalangan. Kawasan tersebut juga telah mendapat peruntukan untuk diturap semula permukaan jalan serta garisan jalan.
“Pemantauan terkini di tapak mendapati permukaan jalan dalam keadaan baik dan tiada lubang. Perabot jalan juga sempurna seperti penghadang jalan, chevron dan papan tanda,” katanya dipetik Sinar Harian.
Berikut komen yang diberikan netizen:







