
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak kebelakangan ini, kecoh isu cadangan agar pilihan raya dijalankan bagi memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ada yang bersetuju khususnya di blok kerajaan, dan ada juga yang tidak bersetuju baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang. Isu berkenaan terus panas apabila timbul dakwaan bahawa kajian berhubung pilihan raya tersebut dijalankan oleh parti DAP dan ia adalah satu ‘permainan kuasa’.
Sebagai info, Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan ketua eksekutif bagi kerajaan tempatan di Kuala Lumpur.
Setakat tahun 2026, terdapat 16 datuk bandar Kuala Lumpur yang telah dilantik oleh Menteri Wilayah Persekutuan. Kebiasaannya, setiap datuk bandar akan menjalankan tugas selama tiga tahun.
Kajian Pilihan Raya Datuk Bandar KL Dijalankan UIAM Sejak Disember 2025
Semalam (3 Februari), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bagaimanapun menegaskan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur masih dalam peringkat kajian.
Mengulas lanjut, beliau berkata kajian dijalankan kerana terdapat ahli parlimen yang mengemukakan rang undang-undang (RUU) persendirian dalam sidang parlimen lepas.
“Jadi kajian ini bukan dilaksanakan sekarang. Kajian ini telah berlangsung sejak bulan Disember semasa mantan menteri wilayah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kajian berhubung isu tersebut dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bukannya DAP.
“Kajian ini jangan takut, kajian ini dilakukan oleh UIAM, jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP, ini ialah Universiti Islam Antarabangsa yang saya yakin kajian mereka berkualiti,” katanya dipetik Sinar Harian.
Wakil Politik Melayu Bantah Cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar KL
Cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL bagaimanapun menerima bantahan daripada beberapa wakil politik Melayu termasuk dari parti UMNO, PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, Malaysia Kini melaporkan pilihan raya kerajaan tempatan telah sejak sekian lama ditolak oleh parti politik Melayu berhaluan kanan, dengan kebimbangan ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoriti penduduknya bukan Melayu.
Antaranya, PN membidas cadangan pelaksanaan tersebut dan menggesa pihak Hannah Yeoh agar mempertimbangkan kembali fokus kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
PN turut mendakwa langkah itu hanya mencetuskan harapan palsu dan berpotensi menimbulkan konflik perlembagaan serta kekeliruan dalam pentadbiran DBKL.
Dari parti PAS pula, Ketua Pemuda bahagian Selangor, Sukri Omar, berkata cadangan itu tidak sepatutnya dilaksanakan secara tergesa-gesa dan berlindung di sebalik agenda reformasi, sebaliknya perlu menegaskan beberapa perkara asas terlebih dahulu.
Dalam satu hantaran Facebook, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata konsep pilihan raya datuk bandar perlu ditolak seperti cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebelum ini.
“Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan PSB dan pilihanraya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini.
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa, mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya.
Cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar KL Terima Sokongan Nik Nazmi – Loke
Pun begitu, sistem itu didakwa turut menerima sokongan segelintir ahli parlimen Melayu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, semalam (3 Februari).
“Saya tak nampak ada apa-apa kontroversi. Itu hanya satu cadangan untuk mengadakan kajian melihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.
“Konsep pemilihan Datuk Bandar ini bukannya perkara baharu pun. Di seluruh dunia, banyak negara demokrasi memang ada pilihan raya Datuk Bandar, jadi saya lihat bahawa ini bukan isu DAP.
“Ramai juga pihak lain telah mencadagkannya termasuk saudara Khairy Jamaluddin dalam satu forum baru-baru ini secara terbuka mengatakan bahawa Kuala Lumpur sepatutnya ada pemilihan datuk bandar supaya mempunyai lebih banyak akauntabiliti.
“Malah Ahli Parlimen lain di Kuala Lumpur termasuk daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyokong usaha ke arah pendemokrasian DBKL,” katanya dipetik Malaysia Gazette.
Datuk Bandar KL Dilantik YDPA
Mengulas mengenai pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menerusi Kerajaan Persekutuan, Anthony berkata kedudukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berbeza daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melantik jawatan sama menerusi kerajaan negeri pilihan rakyat.
“Jadi ini yang kita nyatakan bahawa ada usaha ke arah pendemokrasian untuk DBKL. Ini hanya satu kajian yang perlu dilakukan bagi melihat kebolehlaksanaannya.
“Tidak perlu mana-mana pihak cuba polemikkan. Ini satu kajian sahaja di peringkat DBKL, kita bincang kebaikan dan keburukan serta kelebihan dan kekurangan. Jangan diperbesarkan isu kerana ia belum pun dilaksanakan,” ujarnya dipetik Sinar Harian.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, meminta semua pihak agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan berhubung kajian berkenaan, tetapi perlu dinilai secara rasional, berasaskan fakta dan disiplin akademik.
“Selaras Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur memerlukan perkenan YDPA, dan sebarang pindaan terhadap akta ini juga melibatkan kuasa Seri Paduka Baginda.
“Sehubungan itu, proses berkenaan dijangka melalui fasa tapisan dan perbincangan yang mendalam serta tidak boleh diselesaikan secara tergesa-gesa atau beremosi,” ujarnya.
Beliau juga berpendapat bahawa perlu diadakan satu sesi libat urus yang komprehensif melibatkan persatuan penduduk, badan bukan kerajaan serta pemimpin tempatan di seluruh Wilayah Persekutuan terlebih dahulu.
Pindaan Undang-Undang Perlu Dibuat Sebelum Pilihan Raya PBT Boleh Dijalankan – Datuk Wan Ahmad Wan Omar
Mengulas dari segi undang-undang pula, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengesahkan bahawa Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tidak boleh dilaksanakan oleh SPR.
Ini adalah kerana pelantikan Ahli Majlis bukan lagi dibuat menerusi pemilihan, tetapi secara lantikan berdasarkan Seksyen 10 Akta 171.
“SPR memang ada kuasa mengadakan Pilihan Raya PBT, namun apabila subseksyen 15(1) Akta 171 dimansuhkan dan dihenti kuasa pada 1976 maka ia tidak dapat dilaksanakan oleh SPR.
“Perlu difahami bahawa pilihan raya kerajaan tempatan berada di bawah bidang kuasa negeri, namun berdasarkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan, perubahan dasar berhubung dengan apa-apa cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan,” katanya dipetik Berita Harian.
Pun begitu, Wan Ahmad menjelaskan pindaan undang-undang boleh dibuat dengan mengembalikan semula subseksyen 15(1) dalam Akta 171 supaya Pilihan Raya PBT boleh diadakan semula.
Ketika ini, Akta 171 tidak membenarkan pilihan raya itu dijalankan dan sebarang penganjurannya adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.
Pilihan Raya Tempatan Kali Terakhir Dijalankan Pada 1963
Sebagai info, pilihan raya tempatan terakhir yang diadakan di Malaysia adalah pada tahun 1963 dan telah digantung sejak darurat Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1964.
Pilihan raya PBT terus digantung dengan wujudnya Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang di bawah Perkara 10(1) menyatakan bahawa ahli majlis PBT adalah dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, pihak Pakatan Harapan telah memasukkan isu berkenaan kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di dalam manifesto, dengan cadangan pindaan terhadap Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Selepas memenangi PRU ke-14 pada 2018, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pilihan raya PBT akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan
