Apabila aktiviti santai berakhir duka

LocalTravel
27 May 2026 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Apabila aktiviti santai berakhir duka
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa Sabtu lepas,

AKTIVITI santai seperti memancing, berkelah, berkhemah dan melancong sering menjadi pilihan masyarakat untuk mengisi masa lapang bersama keluarga serta rakan-rakan.

Ada juga yang memilih aktiviti lasak seperti mendaki bukit atau gunung kerana mahu menikmati keindahan alam semula jadi selain mencari ketenangan selepas sibuk dengan urusan harian.

Di sebalik keseronokan dan momen indah yang ingin dicipta, kadangkala terselit juga dugaan yang tidak pernah dijangka.

Tiada siapa keluar rumah dengan menyangka percutian atau aktiviti santai yang dirancang akan bertukar menjadi detik mencemaskan.

Baru-baru ini, berlaku dua kejadian membabitkan pendaki yang dilaporkan tersesat dan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan hutan dan bukit.

Kes pertama melibatkan seorang remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa di Tanjung Malim pada Sabtu sebelum ditemukan meninggal dunia pada Selasa selepas beberapa hari operasi mencari dan menyelamat.

Satu lagi kes membabitkan Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak dan sehingga kini masih belum ditemukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan hilang ketika mendaki di Tanjung Malim

Nur Izzati Humaira masih hilang, lokasi pencarian seluas 0.43km persegi

Polis teliti faktor luaran kes remaja sesat di Bukit Changkat Asa

'Masih bernyawa atau tinggal jasad, kami harap Nur Izzati ditemui' - Bapa

Hakikatnya, tiada siapa menyangka kejadian seperti itu akan berlaku, apatah lagi Jaslinda dikatakan mempunyai pengalaman mendaki lebih 10 tahun.

Ketika keluarga masih bergelut dengan emosi, muncul pula segelintir netizen yang pantas menjadi ‘keyboard warrior’ dengan membuat pelbagai andaian dan tuduhan.

Tidak dinafikan, ramai pengguna media sosial turut mendoakan keselamatan mangsa serta memberikan sokongan moral kepada keluarga dan pasukan penyelamat, namun masih terdapat segelintir pihak yang membuat pelbagai andaian tanpa mengetahui situasi sebenar kejadian.

Melalui ruangan komen media sosial, ada yang mempersoalkan mengapa Nur Izzati dibenarkan turun seorang diri, malah ada juga yang seolah-olah cuba mencari pihak yang perlu dipersalahkan dalam kejadian tersebut.

Hakikatnya, tiada siapa mengharapkan musibah seperti itu berlaku.

Dalam dunia pendakian, keadaan fizikal setiap individu berbeza.

Ada yang mampu meneruskan perjalanan, ada juga yang terpaksa berhenti atau bergerak perlahan kerana keletihan.

Penulis sendiri pernah melalui pengalaman mendaki Gunung Keriang di Alor Setar, Kedah bersama beberapa rakan dan kumpulan pendaki lain pada Julai 2024.

Baru suku perjalanan, penulis sudah mula semput dan kepenatan sehingga terpaksa memaklumkan tidak mampu meneruskan pendakian.

Selepas menunggu agak lama seorang diri, penulis akhirnya membuat keputusan turun terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada rakan selepas selamat tiba di bawah.

Mujur ketika itu semuanya berjalan lancar dan penulis selamat sampai ke bawah.

Pengalaman tersebut membuatkan penulis sedar bahawa sesuatu yang kelihatan mudah sebenarnya tetap mempunyai risiko tersendiri.

Jangan pula memandang ringan apabila mendengar nama Gunung Keriang.

Walaupun gunung itu tidak setinggi lokasi pendakian popular lain, hakikatnya ramai pendaki pernah tersesat, mengalami kecederaan malah ada yang meninggal dunia ketika melakukan aktiviti di situ.

Pada Mei 2025 misalnya, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Keriang.

Ia membuktikan bahawa risiko boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira sama ada seseorang itu baru pertama kali mendaki atau sudah berpengalaman.

Daripada pengalaman dialami dan liputan berita yang pernah dibuat, penulis menyedari bahawa situasi di laluan pendakian tidak semudah yang disangka dan pelbagai perkara boleh berlaku tanpa diduga.

Sebab itu, apabila berlaku insiden melibatkan pendaki, masyarakat sebaiknya tidak terlalu cepat membuat andaian atau menyalahkan mana-mana pihak.

Tidak salah untuk memberi nasihat berkaitan aspek keselamatan pendakian, namun elakkan membuat spekulasi atau tuduhan yang belum tentu benar kerana tiada siapa mengetahui apa sebenarnya berlaku ketika kejadian.

Dalam situasi seperti ini, masyarakat sebaiknya menunjukkan empati dan memberi ruang kepada pasukan penyelamat menjalankan tugas mereka.

Apa yang lebih penting, semua pihak terus berharap agar setiap pendaki yang hilang dapat ditemukan dalam keadaan selamat serta dipermudahkan segala urusan operasi mencari dan menyelamat.

Al-Fatihah buat Nur Izzati Humaira Azizul dan semoga Jaslinda Saludin segera ditemukan segera dalam keadaan selamat.

View Original Article