Kematian Nur Izzati diklasifikasi mati mengejut - Polis

26 May 2026 • 8:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kematian Nur Izzati diklasifikasi mati mengejut  - Polis
Nur Izzati Humaira

HULU SELANGOR - Kes kematian remaja, Nur Izzati Humaira Azizul di Bukit Changkat Asa di sini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, jasad remaja itu dijumpai kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 11.58 pagi, Selasa.

"Pada jam 1.08 petang, mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian.

"Siasatan diklasifikasi sebagai SDR dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dalam kejadian pada Sabtu lepas itu, polis menerima maklumat dari Balai Bomba Tanjong Malim pada jam 2.30 petang memaklumkan seorang perempuan hilang semasa turun dari pendakian bersama keluarganya di Bukit Changkat Asa, Hulu Bernam.

Katanya, aktiviti pendakian bermula jam 8.40 pagi, Sabtu bersama enam ahli keluarga.

"Pada jam 10.50 pagi, semasa perjalanan turun, semua pendaki berhenti rehat, manakala mangsa meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu dan berehat di dalam kereta atas alasan tidak tahan panas dan penat.

"Kira-kira jam 11.35 pagi, apabila ibu mangsa sampai di kereta, dapati mangsa tiada dan disyaki hilang semasa dalam perjalanan turun seorang diri," ujarnya.

Pencarian mangsa berusia 19 tahun selama empat hari itu melibatkan 114 kekuatan daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, pihak berkuasa tempatan serta sukarelawan.