
Di sebalik episod yang cukup memalukan di Negeri Sembilan ini, muncul seorang tokoh yang tetap berdiri teguh, tanpa perlu meninggikan suara, tanpa perlu bermegah dengan kuasa, tetapi dengan keteguhan prinsip dan maruah yang luar biasa.
Baginda ialah Tuanku Muhriz, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang amat disanjung dan dikasihi rakyat.
Ketika para ahli politik sibuk memasang strategi, bermain percaturan dan cuba memesongkan adat serta Perlembagaan demi memenuhi cita-cita politik dan kepentingan ekonomi masing-masing, Tuanku Muhriz tidak berganjak daripada pendirian baginda.
Mereka yang suatu ketika dahulu mempersoalkan kesahihan dan kewibawaan kedudukan baginda, kini terpaksa kembali menghadap ke Istana.
Dengan segala kerendahan hati, mereka akhirnya akur kepada kuasa dan kewibawaan institusi diraja yang sebelum ini cuba mereka cabar.
Bukan sahaja pemimpin di peringkat negeri, malah mereka yang memegang jawatan di peringkat Persekutuan turut berdepan hakikat yang sama.
Prinsip yang dipertahankan Tuanku sebenarnya tidak rumit untuk difahami.
Dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan, kuasa melantik Menteri Besar terletak pada Raja, berdasarkan pertimbangan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri. Bukan presiden parti. Bukan tokoh politik yang menganggap negeri sebagai wilayah kekuasaan peribadi. Apatah lagi kelompok elit yang menyangka mandat rakyat boleh diperlakukan sesuka hati.
Mandat demokrasi datang daripada rakyat. Ia bukan hak milik pemimpin parti, bukan komoditi untuk diperdagangkan dan bukan lesen untuk sesiapa sahaja memperalatkan institusi negara demi kelangsungan kuasa sendiri.
Tuanku Muhriz bukan sedang mempertahankan kepentingan peribadi atau memperluas kuasa istana. Sebaliknya, baginda mempertahankan batas-batas kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan, termasuk batas kuasa institusi yang baginda sendiri wakili.
Di sinilah terletaknya ironi yang cukup besar. Kepimpinan UMNO akhirnya terpaksa kembali menghadap Raja yang kewibawaannya pernah dicabar oleh pemimpin mereka sendiri di peringkat negeri. Sebuah keadaan yang sepatutnya menjadi peringatan bahawa kuasa politik, sebesar mana sekalipun, tidak pernah mengatasi Perlembagaan.
Kepimpinan sejati tidak memerlukan kebisingan untuk membuktikan kewibawaannya. Ketegasan tidak perlu disertai keangkuhan. Dan kekuasaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang berasa dirinya kebal daripada undang-undang.
Seperti yang pernah saya tegaskan, takhta bukanlah hadiah untuk direbut sesuka hati, dan Perlembagaan bukanlah sekadar dokumen yang boleh ditafsir mengikut selera serta kepentingan politik semasa.
Tuanku Muhriz telah memperlihatkan bahawa adat dan tradisi tidak semestinya menjadi penghalang kepada kemajuan. Malah, institusi Raja Berperlembagaan yang dilaksanakan dengan kebijaksanaan, integriti dan rasa tanggungjawab mampu menjadi antara benteng terpenting dalam mempertahankan demokrasi.
Kedua-duanya tidak perlu bersaing untuk menentukan siapa lebih berkuasa. Apabila berada di tangan seorang Raja yang berpegang teguh pada prinsip dan Perlembagaan, institusi tradisi dan demokrasi bukan sahaja boleh berjalan seiring, malah saling melengkapi dalam memelihara kestabilan negara.
Apa yang berlaku ini bukan sekadar satu episod yang melibatkan kedudukan Tuanku Muhriz. Ia membawa makna yang jauh lebih besar: tentang maruah Perlembagaan, keluhuran undang-undang dan hak setiap rakyat Malaysia yang masih percaya bahawa integriti tidak seharusnya tunduk kepada cita-cita politik, kerakusan kuasa dan ketamakan kepentingan peribadi.
Kemenangan sebenar Tuanku Muhriz bukan semata-mata kerana baginda kekal di atas takhta. Kemenangan sebenar terletak pada keupayaan baginda mempertahankan kehormatan institusi diraja tanpa sedikit pun menafikan kedaulatan mandat demokrasi yang diberikan oleh rakyat.
Dan dalam sebuah negara yang terlalu kerap menyaksikan prinsip diketepikan demi kepentingan, pendirian sedemikian seharusnya mengembalikan keyakinan rakyat bahawa masih ada ruang untuk integriti, keluhuran Perlembagaan dan keadilan ditegakkan.
Daulat Tuanku. - Getaran, 28 November 2026





