
KOTA BHARU: Pas dan Barisan Nasional (BN) perlu menjalin kerjasama politik berasaskan kedudukan sama rata tanpa mana-mana pihak mempunyai kuasa menentukan syarat kepada pihak lain.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berhubung tiada istilah ‘Abang Long’ dalam cadangan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan BN adalah tepat.
Katanya, perbincangan antara parti perlu mengambil kira kedudukan politik semasa dengan mengekalkan status quo sebagai asas rundingan seperti pendekatan digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Itulah asas perbincangan kita. Banyak lagi kerusi lain yang boleh dibincangkan kemudian.
“Kita boleh duduk semeja dan berbincang sesama sendiri. Ia bukan soal satu parti boleh mengarahkan parti lain. Kita tidak mahu bentuk kerjasama seperti itu.
“Tiada siapa boleh menentukan syarat dalam kerjasama ini.
“Keputusan perlu dibuat melalui perbincangan bersama yang membabitkan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Samsuri malam tadi, yang menegaskan tiada istilah ‘Abang Long’ dalam rundingan politik antara PN dan BN, sebaliknya kedua-dua gabungan perlu duduk semeja sebagai rakan yang mempunyai kedudukan sama rata.
Dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun ke-70 PAS Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0), Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata tiada pihak sepatutnya mengharapkan pihak lain melakukan semua pengorbanan atau bertolak ansur dalam rundingan berkenaan.
Kerjasama PN-BN menyaksikan kemenangan dalam tiga PRN berturut-turut tahun ini, bermula di Johor pada Julai, diikuti Negeri Sembilan pada Ogos dan Melaka pada 14 November.
The post Pas-BN rakan setara, tiada pihak boleh tentukan syarat – Mohd Amar appeared first on Utusan Malaysia.






