
SIAPA sangka penduduk Bukit Malut di Langkawi akhirnya terpaksa tampil membetulkan keadaan selepas tidak tahan dengan pelbagai tuduhan dilemparkan disebabkan etnik Rohingya.
Disebabkan kawasan itu menjadi lokasi kegemaran kapal Rohingya mendarat dan berhampiran dengan pejabat pihak berkuasa, maka orang ramai menganggap ia dipenuhi etnik itu hingga disangka menjadi penempatan tetap mereka.
Mitos yang bertebaran ialah terdapat 15,000 Rohingya di situ sedangkan jumlah sebenar penduduk sekitar 5,000 sahaja dan sebahagian besar mempunyai Mykad.
Ya, 92 peratus yang tinggal di situ adalah orang tempatan di mana majoriti penduduknya merupakan komuniti Melayu Islam Kedah atau lebih dikenali sebagai Melayu Burma. Lapan peratus penyewa warga asing.
Isu yang tidak akan habis itu akan sentiasa diulang-ulang selagi etnik Rohingya yang dahulunya dipandang dengan penuh rasa simpati, kini dikecam angkara perbuatan sebahagian mereka yang menyebabkan orang marah.
Natijah daripada perasaan tidak puas hati, seramai 110 warga asing termasuk pelarian Rohingya Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dipindahkan ke pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan yang disiarkan sebelum ini, nasib sama menimpa Rohingya yang menetap di beberapa kawasan di Lembah Klang.
Punya lama berada di sini sampaikan Rohingya boleh berniaga dan membina kelompok tersendiri sehingga ada yang lebih mewah daripada penduduk tempatan seolah-olah bukan berstatus pelarian.
Kelmarin, tersebar di media sosial apabila terdapat sekumpulan lelaki Rohingya bertindak menganiaya remaja tempatan di sebuah negeri di Pantai Timur.
Apabila perbuatan itu tular, penduduk yang tidak berpuas hati telah berkumpul beramai-ramai hingga memaksa polis datang dan menyuraikan mereka dan menternteramkan keadaan.
Tangkapan telah dibuat dan siasatan sudah dijalankan. Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan tunggu sehingga siasatan selesai.
Lihatlah betapa mudahnya satu etnik yang dahulunya menerbitkan rasa simpati dan kasihan di atas apa yang terjadi kepada mereka, bertukar kepada kecaman dalam sekelip mata.
Apa yang pelik, ada yang sudah berlindung lebih 30 tahun di Malaysia sedangkan pelarian tidak sepatutnya berada dalam tempoh begitu lama seolah-olah tiada perancangan dibuat dan pihak berkaitan sengaja mengambil kesempatan di atas sikap prihatin Malaysia.
Sekarang ia sudah ‘meletup’ dan desakan rakyat kepada kerajaan supaya semua etnik itu dihantar pulang ke negara asal semakin kuat dari sehari ke sehari.
Kerajaan sudah tentu memikirkan dengan sangat mendalam mengenai isu itu. Rakyat melihat, menilai dan mengharapkan ada penyelesaian dalam tempoh terdekat.
Jangan biarkan lagi isu itu bagaikan ‘tergantung tidak bertali’ kerana ‘bayaran’ yang akan dikenakan kelak amat mahal.
Malaysia perlu bertegas seperti mana kita mempertahankan Palestin dan negara-negara Islam lain di pentas antarabangsa.
The post Apabila simpati bertukar menjadi benci appeared first on Kosmo Digital.





