![Image from: Apakah Hukum Berbisik Depan Orang Ketiga Dalam Islam? Ini Penjelasannya [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/Hukum-berbisik-dalam-Islam-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bila ada rahsia, ramai yang suka berbisik bagi mengelakkan ia dari didengari oleh orang lain.
Namun apa yang tidak manisnya apabila ada yang melakukannya di hadapan orang ketiga hingga menyebabkan seseorang itu rasa tidak selesa dan tersisih.
Persoalannya, apakah hukum berbisik dalam Islam dan adakah dibolehkan seseorang itu berbisik berdua sedangkan di hadapannya terdapat orang lain?
Hukum Berbisik Berdua Depan Orang Ketiga Bergantung Kepada Situasi
Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum berbisik dengan orang lain bergantung kepada situasi.
Jika seseorang itu berbisik berdua dan terdapat orang ketiga di hadapannya, maka hukumnya adalah haram.
Ini kerana perbuatan tersebut boleh menimbulkan syak wasangka sesama manusia serta rasa sedih atau sakit hati pihak ketiga.
Namun, jika kedua-dua individu bercakap dalam bahasa atau dialek yang sukar untuk difahami oleh orang ketiga itu, hukumnya adalah makruh.
Dalil Larangan Berbisik Dalam Islam
“Daripada Ibnu Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كُنْتُمْ ثَلَاثَةً، فَلَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الْآخَرِ، حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ , مِنْ أَجْلِ أَنَّ ذَلِكَ يُحْزِنُهٍ
“Maksudnya ‘Apabila kalian berada seramai tiga orang, maka janganlah berbisik-bisik berdua-duaan tanpa mengajak sekali orang ketiga, sehingga kamu bercampur gaul dengan manusia (bertambah jumlah). Hal ini kerana berbisik boleh membuat orang yang ketiga bersedih. Riwayat Muslim (2184).
“Berdasarkan zahir hadis ini, larangan itu membawa kepada hukum haram. Perkara ini dijelaskan oleh ulama Abdurrahman al-Bassam dalam kitabnya:
ظاهر الحديث: أن التناجي المذكور محرَّم؛ لأن النهي يقتضي التحريم، فإن لم يصل إلى درجة التحريم، فأقل الأحوال الكراهة الشديدة
“Zahir hadis ini menyatakan bahawa berbisik-bisik yang disebutkan adalah haram, kerana larangan membawa hukum haram. Sekiranya tidak sampai ke peringkat haram, maka dalam situasi yang sedikit ia sangat dibenci (makruh),” jelas mereka.
Hukum Berbisik Akan Gugur Jika Terdapat Individu Lain Selain Orang Ketiga
Namun jelas laman itu, hukum berbisik berdua di hadapan orang ketiga akan gugur sekiranya berbisik berdua-duaan namun sekiranya melibatkan kehadiran orang ramai melebihi tiga atau empat orang.
“Oleh itu, dapat difahami bahawa dilarang berbisik-bisik berdua-duan yang terdapat individu ketiga melainkan telah hadir individu ke-4 atau lebih orang disekitarnya agar tidak menguriskan hati dan menyedihkan seseorang,” jelas mereka.
Boleh Berbisik Tanpa Ada Orang Ketiga Tentang Hal Kebaikan
Terang laman itu lagi, seseorang itu dibenarkan berbisik berdua-duaan tanpa kehadiran orang ketiga jika perkara yang dibisikkan itu adalah tentang hal kebaikan.
“Pengecualian bagi mereka yang berbisik-bisik tanpa ada orang ketiga disisinya kerana membincangkan hal-hal kebaikan seperti menyuruh bersedekah atau perancangan mendamaikan manusia yang bertujuan semata – mata mencari keredaan Allah SWT adalah dibenarkan,” terang laman itu lagi.
Namun, jika perkara yang dibisikkan itu tentang kejahatan, ia adalah dilarang.
Pengajaran Larangan Berbisik Berdua Depan Orang Ketiga
Pada masa yang sama, laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan pengajaran di sebalik larangan perbuatan berbisik berdua-duaan di hadapan orang ketiga dalam Islam.
Jelas mereka, antara pengajarannya adalah:
- Islam menjaga hubungan persaudaraan serta kasih sayang sesama manusia.
- Islam menutup wasilah yang boleh membawa perkara yang menyakiti hati manusia lain sehingga menjejaskan hubungan persaudaraan.
- Islam mencegah perbualan yang tidak memberi manfaat dan sia-sia.
- Islam memelihara adab ketika berinteraksi sesama manusia
Baca Artikel Berkaitan: Berdosa Ke Ibu Bapa Sakitkan Hati Anak? Ini Penjelasan UAI [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Putuskan Hubungan Silaturahim Sebab Jadi Mangsa Khianat? Ini Penjelasan UAI [Video]
