Apex Securities mulakan liputan ke atas Optimax dengan saranan 'beli', harga sasaran 76 sen

Business & Finance
15 Mar 2024 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Apex Securities mulakan liputan ke atas Optimax dengan saranan 'beli', harga sasaran 76 sen

diyana

15/03/2024 - 10:25

KUALA LUMPUR 15 Mac - Apex Securities telah memulakan liputan ke atas Optimax Holdings Bhd dengan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 76 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 23 kali ganda yang ditambat kepada pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 3.3 sen.

Firma penyelidikan itu berkata, nisbah pendapatan harga tersebut yang diperuntukkan untuk penilaian adalah berdasarkan purata PE sejarah dua tahun.

“Kami optimis terhadap prospek pertumbuhan pendapatan Optimax, berdasarkan amalan pengurusan berhemat, yang telah terbukti dalam prestasi kewangannya sejak beberapa tahun lalu.

"Meskipun terdapat pelbagai cabaran dan turun naik pasaran, Optimax secara konsisten menyampaikan hasil yang kukuh, menunjukkan asas kukuh dan strategi pengurusan yang berkesan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, Apex Securities berkata inisiatif pengembangan agresif Optimax, baik di dalam dan luar Malaysia, meningkatkan lagi keyakinannya terhadap potensi pertumbuhan syarikat itu

“Pendapatan diunjur berkembang 15% tahun ke tahun (YoY) dan 5% YoY kepada RM131.6 juta dan RM136.6 juta masing-masing pada FY24 dan FY25, dipacu oleh pengembangan meluas Optimax di peringkat tempatan dan antarabangsa, di samping penambahan baharu perkhidmatan seperti pembedahan plastik dan perkhidmatan estetik,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengunjurkan pendapatan bersih untuk FY24 melonjak 47.9% YoY kepada RM19.1 juta sebelum menuruk 7% YoY kepada RM17.7 juta disebabkan oleh kelewatan kesediaan Hospital Setia Alam, sementara menanggung kos susut nilai tambahan. Sumbangan yang lebih kukuh dijangka mula dijana bermula FY26. - DagangNews.com