Aplikasi ‘Are You Dead?’ Tular di China, Jadi Teman Keselamatan Golongan Hidup Bersendirian

13 Jan 2026 • 4:10 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

LUAR NEGARA – Sebuah aplikasi mudah alih dengan konsep yang dianggap suram kini mencetuskan perbincangan hangat di China, khususnya dalam kalangan golongan muda yang hidup bersendirian di bandar-bandar besar.

Menurut laporan BBC, aplikasi yang dinamakan Are You Dead? berfungsi sebagai sistem pengesahan keselamatan peribadi, di mana pengguna perlu menekan satu butang setiap dua hari sebagai bukti bahawa mereka masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.

Sekiranya pengesahan gagal dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, aplikasi tersebut akan secara automatik menghubungi individu yang telah disenaraikan sebagai kontak kecemasan, bagi memaklumkan bahawa pengguna berkemungkinan berada dalam situasi berbahaya atau memerlukan bantuan segera.

Walaupun dilancarkan pada Mei tahun lalu tanpa sambutan besar, populariti aplikasi berkenaan dilaporkan melonjak mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Lonjakan itu dipercayai didorong oleh peningkatan muat turun dalam kalangan golongan muda yang tinggal bersendirian, terutamanya di kawasan bandar utama China.

Fenomena tersebut sekali gus menjadikan Are You Dead? sebagai aplikasi berbayar paling banyak dimuat turun di negara itu.

Menurut laporan media rasmi China, Global Times, sebuah institusi penyelidikan menjangkakan jumlah isi rumah satu orang di China akan meningkat sehingga 200 juta menjelang tahun 2030, mencerminkan perubahan besar dalam struktur sosial dan gaya hidup masyarakat.

Sasaran Golongan Terpinggir & Hidup Solo

Golongan inilah yang menjadi sasaran utama aplikasi berkenaan, yang menggambarkan dirinya sebagai “teman keselamatan” kepada individu yang hidup bersendirian. Ia termasuk pekerja pejabat, pelajar yang menetap jauh daripada keluarga, serta mereka yang memilih gaya hidup solo.

Seorang pengguna media sosial di China berpandangan bahawa individu yang hidup bersendirian pada mana-mana peringkat kehidupan memerlukan sistem sokongan seperti itu, khususnya dalam situasi kecemasan.

Aplikasi berkenaan turut dilihat sesuai untuk golongan introvert, individu yang mengalami kemurungan, penganggur serta mereka yang berada dalam keadaan terdedah.

“Individu yang tinggal bersendirian mungkin meninggal dunia tanpa disedari dan tanpa sesiapa untuk dihubungi bagi mendapatkan bantuan,” ujar seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna meluahkan kebimbangan yang sama, dengan berkata, “Saya sendiri kadangkala terfikir, jika saya mati bersendirian, siapakah yang akan menguruskan jasad saya?”

Nama Aplikasi Undang Kritikan

Bagaimanapun, BBC melaporkan bahawa terdapat juga pihak yang mengecam nama aplikasi tersebut kerana dianggap terlalu suram dan kurang ‘ceria’. Ada yang berpendapat bahawa mendaftar untuk aplikasi berkenaan seolah-olah membawa nasib malang.

Susulan itu, beberapa cadangan dikemukakan agar namanya ditukar kepada sesuatu yang lebih positif, seperti “Are You Ok?” atau “How Are You?”.

Walaupun kejayaan aplikasi tersebut sebahagiannya dipercayai berpunca daripada nama yang mudah diingati dan mencetuskan rasa ingin tahu, syarikat di sebalik aplikasi berkenaan, Moonscape Technologies, menegaskan bahawa mereka mengambil serius kritikan yang diterima.

Menurut syarikat itu, pihaknya kini sedang menimbang kemungkinan untuk menukar nama aplikasi tersebut kepada sesuatu yang lebih neutral dan positif, tanpa menjejaskan fungsi asal sebagai sistem keselamatan peribadi. – The Malaysian Update

The post Aplikasi ‘Are You Dead?’ Tular di China, Jadi Teman Keselamatan Golongan Hidup Bersendirian appeared first on The Malaysian Update.