Hari ini, pihak Unifi telah mengeluarkan notis mengatakan bahawa aplikasi MyUnifi dan juga laman web Unifi, khususnya bahagian perkhidmatan pelanggan akan ditutup bermula hari esok, 22 Mei 2026 sehingga 25 Mei 2026 untuk penyelenggaraan dan proses menaiktaraf perkhidmatan aplikasi dan laman web tersebut.

Sehubungan dengan itu, pihak Unifi menasihatkan pengguna perkhidmatan rangkaian internet jalur lebar dan juga perkhidmatan telekomunikasi mudah-alih mereka untuk melunaskan sebarang pembayaran bil yang perlu dilakukan sebelum tarikh kemaskini platform pelanggan mereka.
Jika mereka masih perlu membayar untuk perkhidmatan langganan Unifi dan Unifi Mobile sepanjang tempoh ini, mereka boleh membayar bil-bil tersebut melalui platform pembayaran JomPAY. Untuk pelanggan Unifi Mobile yang akan ke luar negara pada tempoh ini, mereka boleh mengaktifkan ciri scheduled roaming atau perayauan berjadual untuk memastikan data perayauan mereka diaktifkan apabila mereka mendarat di luar negara. Perayauan berjadual ini boleh diaktifkan sekarang melalui aplikasi MyUnifi, aplikasi Unifi Universe dan laman web pelanggan Unifi.

Kemaskini platform pelanggan Unifi ini dilihat akan memperkenalkan beberapa perubahan, termasuklah nama pelan rangkaian yang dikemaskini dan penyatuan kesemua akaun-akaun unifi, termasuklah pelan jalur lebar, mudah-alih, sistem telefon dan Unifi TV dibawah satu akaun sahaja.

