Hari ini Google mengumumkan yang pelayar web mereka Chrome mula menerima integrasi chatbot AI Gemini. Menariknya, berbeza dengan strategi Microsoft Edge yang menjadikan Copilot sebagai satu tetingkap lain – Gemini pada Chrome terbina terus dalam omnibox (bar alamat). Sebelum ini ia hanya diuji pada versi Canary, kini dengan hanya masukkan @Gemini anda boleh terus bersembang bersama Gemini.

Bukan itu sahaja pemalam Gemini seperti Google Flights, Hotels, Maps, Workspace dan YouTube turut boleh digunakan bersama Gemini dengan hanya masukkan @ kemudian salah satu kata kunci di bawah;
- Google Flights: @flights
- Google Hotels: @hotels
- Google Maps: @maps
- Google Workspace: @gmail, @drive, dan @docs
- YouTube: @YouTube
Google turut akhirnya mengembangkan penawaran aplikasi Gemini ke lebih 150 negara. Sayang sekali Malaysia masih terkecuali. Sokongan bahasa kini adalah sehingga 9 bahasa termasuk Cina, Perancis, Jerman dan beberapa yang lain. Google turut memberitahu sokongan aplikasi Gemini terhad kepada peranti Android bukan skrin boleh-lipat, memori sekurang-kurangnya 4GB RAM dan menjalankan Android 10 ke atas.

Walau bagaimanapun, jika anda melanggan Google One AI Premium dengan storan Google Drive 2TB anda boleh mengakses Gemini dengan lebih mudah dan pantas. Turut perlu diingatkan, jika anda memasang aplikasi ini baik melalui Play Store atau muat sisi – ia akan menggantikan aplikasi Google Assistant. Sokongan bar alamat Chrome dengan pembelajaran mesin turut masih dalam ujian, jika dilancarkan dan dipadankan dengan Gemini – Chrome mungkin berpotensi kembali menjadi pelayar web kegemaran saya. Apa kata anda?
