Aplikasi Jana Resit Pembelian Palsu Untuk Kaburi Peniaga Bikin Ramai Bengang [Video]

LocalTechnology
21 Jan 2025 • 5:12 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Zaman sekarang ini, sudah banyak kaedah pembayaran yang boleh digunakan oleh pelanggan untuk melunaskan pembayaran kepada peniaga.

Selain menggunakan wang tunai, antara cara lain yang turut disediakan adalah melalui kod QR (Quick Response), pemindahan atas talian (online transfer), dompet digital (e-wallet) dan kad bank.

Namun di sebalik kecanggihan ini, wujud sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan memalsukan dokumen penting bagi tujuan penipuan.

Individu Dedah Wujud Apliasi Jana Resit Palsu

Menerusi video dimuat naik semula di laman X (@thelostcndr3lla), kelihatan dua orang wanita cuba melakonkan semula aksi di mana pelanggan cuba untuk menipu pembayaran kepada peniaga.

Situasi tersebut cuba untuk mengetengahkan isu melibatkan kewujudan sebuah aplikasi yang dikatakan boleh menjana resit palsu.

Dalam video berkenaan, pelanggan itu akan mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh peniaga, kononnya untuk membuat pembayaran.

Namun dia kemudiannya dilihat memasukkan jumlah yang perlu dibayar dalam sebuah aplikasi sebelum ia akan memaparkan resit seakan-akan sama seperti resit sebenar.

Ramai Bengang Wujud Aplikasi Jana Resit Palsu

Rata-rata masyarakat meluahkan rasa kurang senang dengan kewujudan aplikasi berkenaan kerana tidak jujur dalam proses jual beli. Malah, mereka berpendapat bahawa barangan yang tidak dibayar itu juga secara tidak langsung dikategorikan sebagai haram.

Sesetengah netizen yang bekerja sebagai peniaga menjelaskan mereka akan meminta pelanggan menunjukkan proses transaksi dilakukan di hadapan mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

“Kalau bayar QR ni saya minta pelanggan tunjuk proses transaksi tu. Aku nak tengok aplikasi tu ada loading screen tu baru aku percaya,” ujar netizen.

Selain itu, ada juga individu yang mencadangkan agar peniaga menggunakan alat ‘soundbox’ bagi memudahkan mereka mengetahui jika pembayaran pelanggan sudah benar-benar dilakukan.

image is not available
Sumber: X


Kes Pelanggan Tipu Pembayaran Pernah Berlaku Di Malaysia

Isu melibatkan pelanggan yang tidak membuat pembayaran selepas membeli atau menjamu selera di premis bukanlah satu perkara yang perkara baharu.

Ini kerana sudah pernah terjadi kes di mana pelanggan ‘kantoi’ tidak menekan butang ‘pay’ (bayar) sewaktu kononnya mahu menunjukkan bukti pembayaran yang telah dibuat.

Selain itu, wujud juga ragam pelanggan yang mendakwa wang simpanannya telah dicuri sekaligus tidak boleh membayar walhal baki duit dalam akaun banknya memang tidak mencukupi.

“Scan tak boleh, dia kata duit dia kena curi. CikTa dengan jahatnya angkat telefon dan tengok (baki simpanan). Mana ada duit kau kena curi dik. Memang kau tak ada duit pun. Kalau kau tak ada duit nak makan, cakap je. Jangan tipu macam ni,” ujar peniaga.

Ini Tips Untuk Elak Dari Ditipu Ketika Pembayaran QR

image is not available
Sumber: MalayMail

Jenayah penipuan yang semakin berleluasa membuatkan ramai pihak mula berasa bimbang kerana terdapat pelbagai taktik penipuan yang cuba dilakukan untuk mendapatkan wang secara haram.

Memetik sumber dari Consumers’ Association Of Penang, antara taktik terbaharu yang dilakukan adalah penipuan menggunakan kod QR. Percaya atau tidak, penjenayah berpotensi untuk mengosongkan akaun bank jika anda mengimbas kod QR palsu yang diberikan.

Penjenayah boleh ‘memancing’ mangsa dengan kononnya mendakwa kod QR yang diimbas membolehkan mereka mendapatkan ganjaran lumayan.

Kes ini turut mendapat perhatian pihak berkuasa apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Persekutuan (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf sendiri mengingati orang ramai agar tidak terjebak dalam menjadi mangsa kes ini.

image is not available
Sumber: QR Code Tiger

Bagi peniaga yang menyediakan kod QR untuk memudahkan pelanggan membuat pembayaran pula, pastinya kecanggihan itu akan didatangi dengan risikonya tersendiri.

Namun bagi mengelakkan para peniaga ditipu sewaktu pelanggan dikatakan mahu membuat pembayaran QR, berikut adalah tips yang boleh dilakukan. Antaranya:

  • Semak transaksi akaun bagi setiap pembayaran sudah dijelaskan oleh pelanggan.
  • Menggunakan alat ‘Soundbox‘ sebagai petanda bahawa transaksi pembayaran pelanggan melalui kod QR sudah dilunaskan.
  • Lihat resit yang ditunjukkan oleh pelanggan dengan penuh teliti.
  • Meminta pelanggan menunjukkan transaksi pembayaran selepas mengimbas kod QR.