
TANJUNG MALIM – Kerajaan sentiasa bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menambahbaik aplikasi Saudi Visa Bio yang digunakan untuk permohonan visa umrah dan haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, beliau sedia maklum kesukaran yang dihadapi oleh bakal jemaah haji negara apabila memohon visa haji menerusi aplikasi tersebut terutama semasa proses imbasan cap jari.
“Berhubung dengan isu visa dan biometrik yang menjadi sedikit aduan terutamanya melibatkan proses imbasan cap jari, pihak berkuasa sentiasa memberikan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Pihak kerajaan Arab Saudi telah pun melaksanakan pelbagai penambahbaikan dan maklum balas daripada pengguna juga diambil kira bagi memastikan proses ini menjadi lebih lancar,” katanya pada sidang media di Dewan Bankuet, Dewan Tuanku Canselor,. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah & Hadiah Sastera Dan Bahasa Budiman Malaysia 2026 (HASBUDI) 1.0.
Berhubung persiapan haji musim 1448H/2027M, Zulkifli berkata, Tabung Haji telah memulakan proses itu peringkat awal lagi dengan penilaian keseluruhan selepas musim haji sebelum ini.
Kuota rasmi jemaah haji Malaysia yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi musim 1448H/2027M seramai 31,600 orang. – KOSMO! ONLINE
The post Aplikasi Saudi Visa Bio ditambah baik untuk umrah, haji appeared first on Kosmo Online.

