Sekarang masih lagi hangat dibincangkan di Internet mengenai Sonos. Aplikasi Sonos untuk mengawal produk audio mereka dipenuhi pepijat dan banyak ciri/fungsi yang digunakan ramai telah dibuang. Walaupun orang ramai mengecam Sonos, saya masih berang dengan aplikasi Sony Headphones yang tidak mesra pengguna dan sukar digunakan. Baru-baru ini, aplikasi mereka telah berubah selari dengan pelancaran LinkBuds Fit dan XMH-1000XM5 berwarna Smoky Pink ditawarkan di Malaysia.

Aplikasi Sony Headphones kini telah dijenamakan semula kepada Sound Connect. Bukan sekadar nama berubah, kerana antaramukanya pun berubah dengan kini memfokuskan kepada penggunaan paparan kad serta tema Material 3. Ia lebih kemas, majoriti fungsi dan ciri mudah diakses dan paling penting ia kurang mengelirukan. Beberapa aspek antaramuka lama masih dikekalkan, jadi mereka yang memerlukan kawalan lebih mendalam masih boleh melakukannya. Paling penting, halaman utama untuk akses pantas akhirnya sedap mata memandang.

Pada minggu ini beberapa produk Sony seperti WH-1000XM5, WF-1000XM5 dan LinkBuds S turut telah dikemaskini dengan sokongan Audio Switch iaitu sambungan kuasa rendah Bluetooth LE terbina pada Android untuk mudah tukar antara dua peranti seakan produk Apple. Kemudian lebih banyak produk audio mula boleh dijejak dengan Google Find My Device.


