Aplikasi Taobao Bakal Lancar Interface Bahasa Malaysia, Mudahkan Pengguna Tempatan Beli-Belah

LocalBusiness & Finance
22 Apr 2025 • 4:53 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Dengan peningkatan permintaan global terhadap produk berkualiti, Taobao Malaysia hari ini mengumumkan perancangan untuk meningkatkan lagi pengalaman membeli-belah tempatan melalui pelancaran antara muka (interface) dalam Bahasa Malaysia yang dijangka akan dilancarkan pada bulan Jun.

Penambahbaikan ini bertujuan untuk memudahkan pengguna tempatan dan memenuhi keperluan membeli-belah rentas sempadan yang semakin berkembang.

Pengumuman ini dibuat ketika aplikasi Taobao semakin popular di peringkat global menjadi aplikasi kedua yang paling banyak dimuat turun di Amerika Syarikat, Kanada, dan United Kingdom, serta menduduki tempat pertama di Perancis.

Taobao Jadi Aplikasi Kedua Paling Banyak Dimuat Turun Di Malaysia

Di Malaysia pula, Taobao telah menjadi aplikasi kedua yang paling banyak dimuat turun di aplikasi membeli-belah iOS—menunjukkan minat dan keyakinan tinggi pengguna tempatan terhadap platform ini.

“Pengenalan antara muka dalam Bahasa Malaysia ini akan menjadi titik permulaan penting dalam usaha kami untuk menjadikan aplikasi ini sebagai aplikasi lokal dan memperkasa komitmen kami untuk menyediakan pengguna di Malaysia dengan aplikasi yang mudah diakses, lancar dan pengalaman membeli-belah secara dalam talian tanpa ada rasa keraguan,” kata Jess Lew, Ketua Negara Taobao Malaysia.

Sebagai tulang belakang e-dagang China, Taobao bukan sahaja menawarkan pelbagai produk, tetapi juga mengubah cara ratusan juta pengguna membeli-belah menerusi pengalaman membeli-belah yang imersif dan lebih menepati cita rasa peribadi.

Taobao Bukan Sekadar Platform Beli-Belah, Beri Idea Baru Dalam Kehidupan Harian

Hari ini, Taobao lebih daripada sekadar platform membeli-belah—ia juga tempat pengguna menemui trend, memperolehi inspirasi, dan mendapatkan idea baru dalam kehidupan harian.

Pada September tahun lalu, Taobao telah memperkenalkan antara muka Bahasa Inggeris untuk pasaran Malaysia, disokong oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menterjemahkan kandungan platform secara automatik.

Aplikasi ini turut menawarkan perkhidmatan pelanggan yang bersifat dwibahasa dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, memudahkan pengguna mengatasi batasan bahasa dan mencari produk berkualiti dengan lebih mudah.

Dengan penerangan produk dalam Bahasa Inggeris, paparan harga dalam Ringgit Malaysia (MYR), dan antara muka yang lebih mudah, pengguna Malaysia kini boleh membeli-belah dengan lebih senang.

Taobao juga menawarkan sistem pembayaran dan penghantaran yang dipercayai dengan kerjasama Antom dan Cainiao.

Pengguna Malaysia boleh memilih pelbagai kaedah pembayaran, termasuklah kad debit, kad kredit, perbankan secara dalam talian, e-Dompet, serta pelan ansuran.

Pengguna juga boleh menjejak pesanan mereka terus dalam aplikasi bagi memastikan ketelusan dan kemudahan untuk pengguna.

Aplikasi Taobao boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.

Untuk maklumat lanjut mengenai Taobao Malaysia, ikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok, dan X atau log masuk ke aplikasi Taobao hari ini.