Saya yakin tidak ramai tahu akan kewujudan aplikasi TikTok Lite – Save Data. Ia adalah aplikasi alternatif versi ringan yang memerlukan memori 2GB RAM, ruangan storan 9MB dan akses Internet 2G atau 3G. Aplikasi ini turut ditawarkan di Malaysia, tetapi tahukah anda aplikasi ini mendedahkan pengguna kepada kandungan berbahaya?

Dalam laporan keselamatan Mozilla, disebabkan TikTok Lite tidak cukup popular Bytedance seakan tidak menghiraukan aplikasi ini berbanding TikTok biasa. Pertama sekali, aplikasi ini dikatakan tidak mempunyai kawalan yang mencukupi seperti kandungan video mengusik orang, video aksi berbahaya, kandungan berunsur politik semuanya tiada label atau sebarang amaran. Aplikasi turut tidak mempunyai alatan keselamatan untuk menapis kandungan dan mengehadkan penggunaan agar tidak berlakunya obsesi.

Buat masa ini tiada sebarang kemas kini akan dilakukan ke atas TikTok Lite kerana mereka tidak mengaku terdapat kesalahan yang dilakukan dan mendakwa aplikasi tersebut mempunyai layanan dan ciri sama dengan aplikasi TikTok utama walaupun Mozilla telah mengemukakan bukti yang kukuh. Cadangan kami adalah, gunakan sahaja TikTok biasa yang terjamin ada banyak ciri keselamatan dan jangan ambil risiko mencuba aplikasi yang tidak ramai gunakan.


