Pemasangan aplikasi secara sisi ataupun sideloading dengan fail APK adalah satu tradisi pengguna Android sejak azali lagi. Namun begitu disebabkan semakin banyak aplikasi hasad yang merbahaya, pemasangan aplikasi secara muat sisi semakin lama semakin sukar demi perlindungan pengguna. Terbaru, Samsung Galaxy Z Fold6 dan Galaxy Z Flip6 mempunyai ciri yang menghalang sepenuhnya pemasangan aplikasi secara sisi dengan ia diaktifkan secara lalai.

Ciri sekuriti pada peranti Samsung ini dinamakan sebagai Auto Blocker dan ia mula diaktifkan secara lalai dalam peranti Galaxy yang menjalankan OneUI 6.1.1 ke atas. Ia adalah halangan kedua selepas halangan pertama iaitu kebenaran muat sisi. Ia walau bagaimanpun boleh dimatikan oleh pemilik sekiranya yakin dengan APK yang dimuat turun.
Auto Blocker bukan sahaja menghalang muat sisi APK tetapi turut menghalang serangan hasad melalui sambungan USB, menghalang imej hasad dalam aplikasi pemesejan serta menghalang kemas kini melalui USB.
Pada masa yang sama, Samsung turut menambah ciri Maximum restrictions yang mengaktifkan perlindungan aplikasi, menghalang aplikasi dengan akses pentadbir, menghalang kemampuan memuat turun sesuatu secara automatik, menghalang pautan dalam teks, membuang data lokasi dala gambar ketika dikongsi dan menghalang album gambar dikongsi.
