Aplikasi Toyota MY baharu tawar perkhidmatan lebih cekap kepada pelanggan
zulfadli
06/10/2023 - 11:44
KUALA LUMPUR 6 Okt - UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan aplikasi Toyota MY baharu untuk peranti iOS dan android bagi menyepadukan ciri Toyota Drive dan aplikasi Toyota 24Seven dengan lancar pada satu platform yang mudah digunakan.
Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K berkata, Toyota mengamalkan falsafah 'kaizen', yang bermaksud peningkatan berterusan.
"Ini bukan sahaja kepada reka bentuk dan pembuatan kenderaan tetapi juga kepada pengalaman pelanggan dan titik sentuh kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Ravindran, dengan memudahkan pengurusan kenderaan, aplikasi Toyota MY membolehkan pihaknya menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih cekap sejajar dengan komitmen mereka terhadap kepuasan pelanggan.
"Aplikasi ini mewakili langkah penting ke arah masa depan bagaimana kami menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan yang dihargai, dan kami teruja untuk mengembangkan lagi potensi yang dimilikinya bagi inovasi dan peningkatan baharu," katanya.
Aplikasi Toyota MY menyepadukan fungsi dengan sempurna daripada aplikasi Toyota sebelum ini, mesra pengguna, memperkasakan pemilik Toyota mengakses maklumat penting tentang kenderaan mereka dengan mudah, membuat janji temu perkhidmatan, melihat keahlian Loyal-T mereka, bantuan 24Seven di tepi jalan, mencari cawangan Toyota berdekatan dan banyak lagi.
Dengan akses mudah merentasi pelbagai peranti mudah alih, aplikasi itu memperkemas pengurusan kenderaan untuk meningkatkan pengalaman pemilikan keseluruhan untuk pemandu Toyota, menyokong mereka dalam mengekalkan kenderaan mereka pada tahap puncak prestasi dan mencerminkan komitmen Toyota menyediakan pengalaman pemilikan bebas kerumitan dan cekap.

Selain ciri praktikalnya, aplikasi ini juga berfungsi sebagai hab pusat untuk berita dan promosi Toyota terkini. Ia akan menjadi platform digital utama UMWT untuk memperkenalkan inovasi dan penambahbaikan baharu.
Sebelum ini, pemilik Toyota dikehendaki memasang dua aplikasi berbeza, aplikasi Toyota Drive yang dilancarkan pada 2017 dan aplikasi Toyota 24Seven. Berikutan pengenalan aplikasi Toyota MY, kedua-dua aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven akan ditamatkan secara berperingkat.
Pengguna Toyota Drive sedia ada hanya perlu mengemas kini aplikasi dan ia akan menaik taraf kepada aplikasi Toyota MY baharu.
Mereka kemudiannya boleh log masuk ke Toyota MY menggunakan alamat e-mel berdaftar sedia ada selepas proses persediaan yang cepat dan mudah.
Pelanggan baharu Toyota digalakkan untuk mendaftarkan butiran mereka di cawangan Toyota semasa pembelian kenderaan untuk memudahkan pembukaan akaun. - DagangNews.com


