YouTube ialah aplikasi penstriman video terbesar dunia dengan ia kini menawarkan lebih 20 trilion video dan 20 juta video baharu dimuat naik setiap hari. Tetapi bagi pemilik 8 peranti Apple, aplikasi YouTube tidak lagi boleh digunakan selepas ia dikemaskini. YouTube versi 20.22.1 yang diberikan empat hari lalu hanya menyokong peranti yang menggunakan sekurang-kurangnya sistem operasi iOS 16.0 dan iPadOS 16.0.

Ini bermakna iPhone 6s, iPhone 6s Plus, iPhone 7, iPhone 7 Plus, iPhone SE Gen 1 (2016), iPad Air 2, iPad mini 4 dan iPod touch 7 tidak lagi boleh menggunakan versi aplikasi terkini memandangkan ia masih menggunakan iOS 15. Apple hanya memberikan kemas kini tampalan sekuriti sahaja untuk kesemua peranti ini.
Jika anda pemilik peranti yang masih ingin menstrim YouTube, ia hanya boleh dilakukan menggunakan pelayar web seperti Safari atau Chrome. Dan jika anda masih menggunakan iPhone 6s, tahniah kerana anda pengguna tegar yang sabar memandangkan telefon pintar ini hampir berusia 10 tahun. Minggu ini juga melihat WhatsApp telah menamatkan sokongan untuk iPhone 5s, iPhone 6 dan iPhone 6 Plus kerana sudah terlalu usang.


![“Kebersihan Out!” – Ramai Geli Lihat Cacing Ditemui Dalam Makanan, Masih Hidup & Bergerak Atas Pinggan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)
