
LAHAD DATU: Seramai 30 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu menyertai program latihan pertolongan cemas kecemasan dan penggerak balas asas bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan mereka menghadapi situasi kritikal.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata sesi latihan yang dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu itu memberikan tumpuan kepada kemahiran penting.
Ini termasuk penilaian awal mangsa, pemeriksaan tahap kesedaran, pengurusan saluran pernafasan, kawalan pendarahan, rawatan kecederaan dan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Beliau berkata sepanjang latihan itu peserta turut diberikan panduan mengenai tanggungjawab seorang ‘first responder’ (penggerak balas asas) termasuk memastikan keselamatan lokasi kejadian.
“Peserta turut diajar untuk memberikan sokongan awal kepada mangsa serta menyampaikan maklumat penting semasa panggilan kecemasan sebelum diserahkan kepada petugas perubatan.
“Latihan ini akan membantu memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggota maritim Lahad Datu, khususnya ketika operasi di laut yang lebih berisiko dan kerap berdepan situasi kritikal,” katanya.
Menurut Dzulfikhar, program ini juga menjadi platform bagi mengeratkan lagi kerjasama antara APMM dan APM dalam memperkukuh keselamatan maritim di kawasan Lahad Datu. Tambahnya, kerjasama yang dipupuk melalui latihan seumpama itu membantu membina rangkaian penyelamat yang memahami peranan masing-masing dan dapat bekerja dengan lancar semasa situasi sebenar.



