
IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang menggajikan 19 warga asing tanpa kebenaran, semasa rondaan di sekitar perairan negeri itu semalam.
Pengarahnya Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata bot tersebut dikesan pihaknya pada kedudukan 6.4 batu nautika barat Sungai Tiang, kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tiga kru warga Thailand dan 16 kru warga Myanmar berumur lingkungan 21 hingga 52 tahun, yang berada di atas bot.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hambali berkata kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran yang sah dan Akta Imigresen 1959/63, kerana memalsukan dokumen serta tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata kesemua nelayan yang ditahan, bot dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh, Sitiawan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya.
