APMM tahan tiga bot Vietnam, ceroboh dan rompak hasil laut

12 Oct 2023 • 6:44 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot dengan 37 kru lelaki warga Vietnam, disyaki menceroboh dan merompak hasil laut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.5 juta, semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata ketiga-tiga bot terbabit ditahan ketika sedang menangkap hasil laut pada jarak 15.1 batu nautika timur laut Pulau Aur di sini, kira-kira 7.30 malam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan menggunakan nombor pendaftaran asing dari Vietnam dan dikendalikan tekong dan kru berumur antara 18 hingga 66 tahun, dengan kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua bot itu juga didapati tidak mempunyai sebarang dokumen bertulis kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan perikananan negara.

“Kesemua mereka telah ditahan berserta bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan kira-kira 13,000 kilogram, 4,000 liter bekalan diesel dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Pos Teluk Gading untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata APMM mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

“Sebarang aduan jenayah atau kemalangan di laut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-219 9404,“ katanya. -Bernama