Siapa sangka kek lapis keluaran Apollo yang sering menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia berjaya mencipta satu pencapaian besar apabila jenama konfeksi tempatan itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengeluar kek lapis paling banyak dalam tempoh setahun.

Apollo Food Holdings Berhad yang sudah bertapak sejak 1953 itu berjaya menghasilkan sebanyak 587,736,544 unit kek lapis sepanjang tahun 2026, sekali gus melakar sejarah baharu menerusi pengiktirafan tersebut.
Pencapaian itu diumumkan sempena pelancaran fasa pengembangan baharu Apollo yang dikenali sebagai APOLLO 2.0: Redefining A New Era of Yumminess di premis pengeluarannya di Larkin, Johor Bahru pada 6 November lalu.
Kapasiti Pengeluaran Kek Dijangka Meningkat 40%

Bukan sekadar meraikan kejayaan mencipta rekod, Apollo turut memperkenalkan barisan pengeluaran kek baharu yang dilengkapi sistem automasi lebih menyeluruh.
Menerusi pelaburan tersebut, kapasiti pengeluaran kek syarikat itu dijangka meningkat sekitar 40% berbanding sebelum ini.
Malah, sistem baharu berkenaan turut membolehkan operasi pengeluaran berjalan 24 jam apabila diperlukan.
Penggunaan teknologi automasi ini merangkumi keseluruhan proses pengeluaran, bermula daripada pengendalian bahan ramuan sehinggalah pembungkusan produk.
Langkah tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan operasi, malah turut memastikan kualiti produk, kebersihan dan keselamatan makanan lebih terjaga.
Wujudkan Makmal Inovasi Untuk Hasilkan Produk Baharu
Dalam masa sama, Apollo turut menyediakan makmal inovasi khas untuk mencipta perisa baharu dan menambah baik produk sedia ada mengikut selera pengguna.
Menerusi makmal ini, setiap idea produk boleh diuji dan diperhalusi terlebih dahulu sebelum memasuki peringkat pengeluaran.
Pendekatan ini juga membolehkan Apollo bereksperimen dengan gabungan bahan berkualiti dan cita rasa tempatan bagi menghasilkan produk yang lebih menarik serta sesuai dengan selera pengguna masa kini.
Ketua Pemasaran Apollo, Warren Chan berkata, pihaknya mahu terus memperkenalkan produk yang bukan sahaja mempunyai tarikan tersendiri, malah mampu memenuhi cita rasa pengguna daripada pelbagai generasi.
Terus Perkukuh Legasi Jenama Tempatan
Menurut Pengarah Urusan Apollo, Cheah Jia Ming, pengiktirafan MBOR itu merupakan bukti pencapaian syarikat sepanjang perjalanan lebih tujuh dekad dalam industri konfeksi.
Jelasnya, pelaburan dalam teknologi, pembangunan tenaga kerja, peningkatan kapasiti pengeluaran dan inovasi merupakan antara usaha untuk memastikan Apollo kekal relevan serta berdaya saing pada masa hadapan.
Untuk rekod, Apollo ditubuhkan pada 1953 dan terkenal dengan penghasilan pelbagai produk konfeksi termasuk kek, wafer serta coklat yang menjadi pilihan pengguna merentasi generasi.
Dengan pengenalan Apollo 2.0, jenama tempatan itu bukan sahaja mahu mempertahankan legasinya, malah berhasrat untuk terus mencipta pengalaman dan kenangan baharu buat peminatnya, termasuk generasi muda.






