sarah04/11/2026 - 12:40 Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Mohamad Rafidi Mat Dahan menyampaikan ucapan semasa Majlis Pengiktirafan Kompetensi Maritim dan Pemerkasaan Syarikat Tempatan yang berlangsung di Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - Technology Depository Agency Berhad (TDA) memperkukuh penyertaan 10 syarikat tempatan dalam projek menaik taraf Terminal Kuala Kedah bernilai RM245.47 juta, yang dijangka meningkatkan kapasiti terminal itu hampir empat kali ganda kepada 3,000 penumpang apabila siap pada September 2027.
TDA berkata, projek Terminal Penumpang, Kargo dan 'Roll-on/Roll-off' (RoRo) Kuala Kedah yang bermula pada April 2024 itu turut membolehkan tiga kapal penumpang bersaiz besar berlabuh serentak, berbanding kapasiti terminal sedia ada yang hanya mampu menampung kira-kira 800 penumpang.
Menurutnya, TDA menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) berperanan memudah cara dan memantau penyertaan syarikat tempatan dalam projek berkenaan, bagi memastikan pelaburan kerajaan turut memberi manfaat kepada industri dan tenaga kerja Malaysia.
Sebanyak 10 syarikat tempatan yang terlibat dalam projek itu melaksanakan pelbagai kerja termasuk penyewaan jentera, penyiasatan tanah, pembinaan cerucuk marin dan darat, pembekalan bahan binaan, sistem bangunan serta kerja elektrik.
TDA, sebuah agensi di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, berperanan memudah cara dan memantau pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP) di Malaysia bagi menyokong pembangunan keupayaan industri tempatan, pembangunan tenaga kerja serta pemindahan teknologi.
65 pekerja maritim raih pensijilan, peluang pekerjaan lebih luas
Selain membuka peluang perniagaan, TDA turut mencatatkan kejayaan 100% apabila kesemua 65 peserta latihan maritim yang terdiri daripada nelayan, pengendali bot kecil dan penyelia bot pelancongan berjaya memperoleh Sijil Mate Domestic (Open).
Pensijilan tersebut membolehkan pemegang sijil yang memenuhi syarat menjalankan aktiviti maritim di seluruh perairan Malaysia, tertakluk kepada peraturan Jabatan Laut Malaysia, sekali gus membuka peluang pekerjaan lebih luas dan meningkatkan potensi pendapatan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangunan infrastruktur perlu disokong oleh tenaga kerja berkemahiran dan penyertaan syarikat tempatan bagi memastikan industri maritim negara terus berdaya saing.
“Industri maritim memerlukan tenaga kerja yang kompeten serta ekosistem syarikat tempatan yang kukuh dan mampu memenuhi piawaian operasi. Menerusi ICP, perolehan kerajaan dapat diterjemahkan kepada pembangunan kemahiran, pemindahan pengetahuan dan penyertaan industri yang lebih bermakna,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Mohamad Rafidi Mat Dahan berkata, kejayaan program berkenaan membuktikan bahawa kerjasama antara kerajaan, agensi pelaksana, penyedia latihan dan industri mampu membangunkan keupayaan tempatan secara sistematik.
Beliau berkata, TDA sebagai agensi di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan akan terus memastikan projek perolehan strategik kerajaan bukan sahaja menambah baik infrastruktur, malah meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memperkukuh syarikat tempatan dan membuka peluang penyertaan dalam projek berskala lebih besar.- DagangNews.com






