Selamat hari jadi setengah abad kami ucapkan kepada Apple Inc yang disambut esok 1 April 2026. Sedar-sedar syarikat yang ditubuhkan Steve Jobs, Steve “The Woz” Wozniak dan Ronald Wayne ini sudah berusia 50 tahun dengan ia ketika artikel ini ditulis ialah syarikat dengan nilai pasaran kedua tertinggi di dunia di belakang NVIDIA.

Dalam tempoh 50 tahun ini, Apple telah banyak menyumbang kepada dunia teknologi dan bertanggungjawab mempopularkan pelbagai trend serta kategori produk baharu. Semuanya berjaya dilakukan walaupun ia pernah hampir muflis dan dipukul badai besar pasca kematian Steve Jobs. Di bawah ialah senarai 10 sumbangan terbesar mereka kepada dunia teknologi.
1.Apple iPhone

Sumbangan paling besar pastinya iPhone kerana ia mengubah landskap telefon mudah alih secara serta merta. Butang fizikal digantikan dengan skrin sesentuh kapasitif yang menyokong gestur. Tiada lagi halangan kekunci fizikal dalam aplikasi. Ia dengan pantas menjadi mesin multimedia semua dalam satu dan menjadi sebab mengapa kebarangkalian besar anda sedang membaca artikel ini pada sebuah telefon pintar.
Anjakan evolusi telefon mudah alih boleh dilihat sebelum dan selepas MacWorld 2007. Impaknya iPhone ke atas dunia telefon, komputer, ekonomi, media dan internet boleh disamakan dengan Ledakan Devonian ke atas hidupan muka bumi. Ia semua bermula dengan Steve Jobs mengucapkan “iPod skrin lebar dengan kawalan sentuh, telefon bimbit yang berevolusi, dan alat komunikasi internet yang inovatif” pada 9 Januari 2007.
2.iTunes dan iPod – Revolusi Music Digital

Sebelum iTunes industri muzik hampir pupus disebabkan cetak rompak selepas Napster dilancarkan. Jutaan muzik boleh dimuat turun menerusi perkongsian P2P. Metallica cuba menjadi juara artis sehingga Napster terkorban tetapi aplikasi lain tumbuh macam cendawan mengisi tempatnya. iTunes dilancarkan pada Januari 2001 dengan 200,000 ribu lagu sahaja.
Dalam masa seminggu, 1 juta lagu dijual pada harga 99 sen setiap satu. Bagi mengelakkan cetak rompak, sistem DRM FairPlay digunakan. Orang ramai kini mempunyai cara membeli muzik digital secara “halal” untuk menyokong artis kegemaran dan syarikat rakaman pula terselamat daripada kepupusan.
Kemudiannya pada bulan Oktober, iPod dilancarkan untuk memainkan muzik yang dibeli. Saya masih ingat tahun 2001 kerana dalam sekelip mata pemain muzik Sony Discman dan Creative Nomad (32MB) yang saya miliki menjadi dinosaur jika dibandingkan dengan iPod yang futuristik kerana boleh menyimpan 1000 lagu! Evolusi besar kerana pada waktu tersebut majoriti pemain muzik MP3 hanya boleh menyimpan puluhan lagu sahaja.
3.Apple Lisa – Pengenalan GUI

Dalam tulisan mengenai iPhone di atas, saya menyentuh bagaimana skrin peranti mengubah bagaimana manusia berinteraksi dengan telefon. Tiada lagi butang fizikal khusus diperlukan untuk navigasi. Pada tahun 1983, Apple melakukan perubahan pada cara manusia berinteraksi dengan komputer peribadi menerusi pengenalan Apple Lisa.
Lisa ialah komputer desktop pertama dijual kepada orang ramai dengan antaramuka grafik (GUI). Sebelum Lisa wujud Xerox menghasilkan prototaip yang menarik perhatian Steve Jobs yang melakukan lawatan ke Palo Alto Research Center (PARC). Lisa ialah benih pertama yang ditanam kemudiannya tumbuh menjadi iPod, iPhone dan iPad. Selepas 43 tahun, komputer moden masih lagi menggunakan GUI sebagai antaramuka.
4.iPad – Merealisasikan Komputer Tablet

Apple iPad dilancarkan pada tahun 2010 tetapi saya yakin ramai tidak menyedari sebenarnya teknologi iPad dibangunkan terlebih dahulu daripada iPhone. Selepas melihat prototaip pertama iPad, Steve Jobs memintas pasukan rekaan Apple untuk membangunkan telefon terlebih dahulu. Seperti kata Mat Salleh, “the rest is history”.
Sejak dari awal pembukaan Apple, Steve Jobs mahu menghasilkan komputer tablet yang mudah digunakan dan dibawa kemana-mana. Dalam buku Water Isaacson, idea sudah berputik di dalam kepala menerusi konsep Bashful pada tahun 1983 yang dilengkapi stylus. Kemudian pada tahun 1993 Apple Newton dilancarkan juga dengan stylus tetapi ia tidak mendapat sambutan.
Apabila Jobs kembali semula bersama Apple pada tahun 1997, beliau menyedari teknologi untuk Bashful belum wujud dan Newton pula mempunyai pengalaman penggunaan yang buruk sehingga beliau menamatkannya pada tahun 1998.
Hanya selepas pemproses berkuasa, skrin sesentuh yang tidak memerlukan stylus, ekosistem aplikasi dan perisian khusus digunakan pada skrin sesentuh wujud beliau melancarkan iPad kepada dunia. Semua komputer tablet sebelum iPad gagal. Sekali lagi Apple mewujudkan produk kategori baharu yang menjadi ikutan industri.
5.App Store – Ekonomi Aplikasi

Pengajaran yang diperoleh selepas melancarkan iTunes digunakan oleh Apple untuk melancarkan App Store pada tahun 2008. Ya rakan-rakan iPhone generasi pertama tidak mempunyai stor aplikasi kerana Steve Jobs mengatakan pelbagai perkhidmatan seharusnya boleh diakses menggunakan Safari menerusi web app sahaja.
App Store dilancarkan serentak dengan iPhone 3GS dengan hanya 500 aplikasi. Kini terdapat sekitar 2 juta aplikasi dan semakin meningkat disebabkan sempoicara. Pengenalan App Store mewujudkan terma baharu “Ekonomi Aplikasi” lebih-lebih lagi selepas Apple membenarkan pembelian dalam aplikasi (IAP) pada tahun 2009.
Pembangun menjadi kaya dengan menjual aplikasi bunyi kentut, sendawa dan minum beer secara maya (iBeer). Tanpa App Store tidak wujud Instagram, WhatsApp dan Snapchat. Kewujudan aplikasi tertentu seperti Angry Birds, Instagram dan Fruit Ninja boleh menentukan kejayaan sistem operasi baharu. Meego dan Symbian misalnya gagal kerana tiadanya sokongan aplikasi popular.
6. AirPods – Mempopularkan Fon Telinga Nirwayar

Sebelum AirPods, setiap telefon yang dibeli hadir dengan seutas fon telinga berwayar. Selepas AirPods telefon yang dibeli kini kalau anda bernasib baik masih mempunyai pengecas. Domino pertama kelengkapan minimalis dalam kotak peranti elektronik dijatuhkan oleh Apple menerusi AirPods.
Walaupun pada awalnya menjadi bahan jenaka, langkah Apple kini sudah menjadi ikutan semua. Telefon perlu menjadi semakin nipis dan bicu audio perlu dibuang. “Keberanian” Apple kini menjadikan fon kepala dan telinga bluetooth bukan lagi aksesori mewah. Golongan purist mungkin akan mengatakan bluetooth berkualiti rendah berbanding fon telinga berwayar. Tetapi realitinya ia pengorbanan kecil untuk tak perlu lagi berhadapan kabel berselirat dan membebaskan diri daripada kabel.
Apple bermula dengan 0% pasaran fon telinga bluetooth pada 2016. Tahun lalu ia di tempat pertama dengan 23% pasaran semuanya kerana AirPods.
7.Apple Silicon – Menggunakan Cip Arm Pada Komputer

Tahun 2020 ialah annus horribilis bagi penduduk bumi disebabkan oleh pandemik Covid-19. Tetapi di penghujung tahun yang sama, Apple Silicon dilancarkan untuk MacBook Air memulakan era pax ARM-ericana kerana Apple membuktikan mereka tidak lagi memerlukan Intel dan cip X86.
Kuasa tinggi boleh dicapai tanpa pemanasan melampau dan menggunakan bateri yang tinggi. Saya masih ingat kali pertama menggunakan MacBook M1 dan terkejut masih ada 20% bateri selepas bekerja dari pagi. Usaha sulung Apple mendatangkan hasil dengan jualan Mac pada tahun tersebut mencanak naik. Kini senibina Arm juga digunakan pada komputer Windows selepas beberapa usaha terdahulu kurang mendapat sambutan. Apple menyuluhkan jalan dan orang lain menelusurinya dengan selamat.
8. iMac G3 – Komputer Tak Semestinya Boring

iMac G3 membuktikan komputer desktop tidak semestinya membosankan dengan pilihan warna beige sahaja pada tahun 1998. Steve Jobs dan Jony Ive menunjukkan kepada dunia komputer boleh ditawarkan dalam warna-warna ceria seperti pelangi.
Elemen rekaan ini diteruskan pada iBook sebelum digunakan kembali pada iMac moden dan baru-baru ini MacBook Neo. Boleh juga argumen diberikan bahawa iMac mempopularkan komputer AIO bagi mereka yang mencari komputer berkuasa kompak bergaya yang tidak memakan ruang.


