
Apple bersetuju menyelesaikan saman yang difailkan oleh pemegang saham syarikat dengan bayaran $250 juta kerana kelewatan ciri kecerdasan buatan (AI) pada Siri. Saman difailkan oleh Peter Landsheft, seorang pemegang saham Apple kerana mendakwa kelewatan ciri yang dijanjikan untuk siri iPhone 16 mendatangkan impak negatif terhadap nilai saham syarikat.

Sehingga ke hari ini keseluruhan ciri AI Siri yang diiklankan masih belum dilancarkan dengan ia dijangka hanya akan tiba tahun ini selepas acara WWDC 2026. Walaupun kes diselesaikan di luar mahkamah, Apple tidak mengakui sebarang kesalahan dengan penyelesaian masih perlu menerima kelulusan hakim.
Pengenalan ciri Apple Intelligence berhadapan pelbagai isu kerana perisian akhir tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan sendiri oleh Apple sebelum ia tiba ke tangan pelanggan. Kerana kesukaran membina model AI sendiri, Apple kini membayar lesen untuk menggunakan model berasaskan Google Gemini untuk Apple Intelligence bagi memberikan keupayaan pada Siri.
Ciri-ciri yang dijanjikan oleh Apple pada Siri kini sudahpun boleh digunakan pemilik peranti Pixel dan Galaxy S26 di Malaysia menerusi Personal Intelligence. Januari lalu Personal Intelligence dilancarkan dengan ia menggunakan data Gmail, tontonan YouTube, simpanan gambar Google Photos dan juga hasil carian Google untuk memaparkan jawapan carian yang lebih tepat serta diperibadikan untuk setiap pengguna.



