Apple Vision Pro ialah produk kategori baharu dilancarkan Apple sejak sekian lama. Pada awalnya ia mendapat sambutan hangat tetapi permintaan pasaran untuk set kepala realiti bercampur (MR) adalah agak rendah. Dalam laporan terkini Mark Gurman di Bloomberg, beliau mengatakan Apple kini bersedia untuk melancarkan robot yang diletakkan di atas meja.

Robot ini ialah projek yang pada asalnya dilaporkan sebagai HomePod dengan skrin. Ia kini berevolusi menjadi robot di atas meja dengan lengan yang boleh bergerak dengan kebebasan sehingga 6″. Skrin di hujung lengan ini adalah sebesar iPad dengan wajah robot berasaskan ikon Finder. Ia diperkasakan oleh Siri dengan kecerdasan buatan bagi membolehkan ia berbual dan berinteraksi dengan pengguna.
Projek robot ini dalam proses menghasilkan prototaip pertama dengan rekaan akhir hanya akan diketahui selepas Siri dengan Apple Intelligence dilancarkan tahun depan. Siri yang dipertingkatkan ini sudah mengalami kelewatan setahun daripada tarikh asal kerana tidak mencapai apa yang dijanjikan di WWDC tahun lalu.
Apple lewat menerjah masuk ke arena pembangunan kecerdasam buatan (AI) menyebabkan kemampuan Apple Intelligence di belakang ChatGPT dan Gemini. Kerana isu ini Tim Cook tidak menolak membeli syarikat AI sedia ada bagi meningkatkan kemampuan Apple Intelligence dengan segera sama seperti mereka membeli SRI International bagi memiliki Siri.
