Apple & Google Setuju Jadikan App Stores Dan Play Store Lebih Adil

TechnologyBusiness & Finance
11 Feb 2026 • 11:13 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Perusahan teknologi gergasi dunia, Apple dan Google bersetuju untuk menjadikan platform masing-masing lebih adil melalui satu pakej perubahan yang bertujuan menangani dominasi mereka dalam pasaran mudah alih.

Menurut BHOnline yang memetik PA Media, pihak berkuasa Persaingan dan Pasaran UK (CMA) sebelum ini memberi amaran yang kedua-dua syarikat itu mungkin dipaksa melakukan perubahan pada platform mereka.

Malah, Apple dan Google juga dipaksa memberikan status ‘pasaran strategik’ iaitu satu penetapan khas bagi perniagaan terbesar dan paling berkuasa selain berfungsi sebagai garis panduan terhadap cara syarikat tertentu boleh beroperasi.

Apple & Google setuju pastikan aplikasi diedar disemak secara adil

Kedua-dua syarikat juga bersetuju dengan beberapa komitmen termasuk memastikan aplikasi yang diedarkan di kedai aplikasi mereka (Play Store dan App Stores) disemak secara adil, objektif dan telus tanpa mendiskriminasi aplikasi pesaing.

Menurut Apple, fungsi semakan aplikasinya akan dilakukan oleh pasukan khusus yang beroperasi secara berasingan daripada pasukan aplikasi dan perkhidmatan milik syarikat itu.

CMA berhasrat terima komitmen Google untuk tangani kebimbangan utama

Jurucakap Google pula berkata, CMA berhasrat untuk menerima komitmen syarikatnya bagi menangani kebimbangan utama hasil penilaian terhadap platform mudah alih mereka.

“Walaupun kami percaya amalan pembangun Google Play sedia ada adalah adil, objektif dan telus, kami mengalu-alukan peluang untuk menyelesaikan kebimbangan CMA secara kerjasama.

“Komitmen sukarela yang dicadangkan akan terus menyediakan ketelusan berkaitan dasar dan amalan semakan aplikasi, kedudukan dan penggunaan data bagi memastikan pembangun memahami pelbagai pilihan yang tersedia kepada mereka di Google Play.

“Kami akan terus berinteraksi secara konstruktif dengan CMA bagi pihak pembangun, pengeluar peranti dan pengguna Android di seluruh dunia,” katanya.

Apple akui berdepan persaingan sengit dalam setiap pasaran diceburi

Menurut Apple lagi, syarikat itu juga berdepan persaingan sengit dalam setiap pasaran yang diceburi dan bekerja tanpa henti untuk menghasilkan produk, perkhidmatan dan pengalaman pengguna terbaik.

“Komitmen yang diumumkan hari ini membolehkan Apple terus memajukan inovasi penting dalam aspek kerahsiaan dan keselamatan untuk pengguna, serta menyediakan peluang besar kepada pembangun.

“Kami menghargai dialog yang positif dan berterusan dengan pihak berkuasa UK,” katanya.