
Keselamatan operasi (OPSEC) ialah garis panduan yang perlu dipatuhi anggota tentera semasa bertugas. Kegagalan mematuhi OPSEC boleh menyebabkan lokasi dikesan dan kemudian anggota diserang seperti yang berlaku di Ukraine. Gara-gara galak berkongsi video TikTok, rahsia operasi terdedah dan markas diserang artileri seperti yang berlaku di Ukraine. Terkini Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mengharamkan penggunaan cermin mata pintar dan peranti bluetooth ke atas anggota yang sedang bertugas.

Pemakaian cermin mata pintar yang boleh merakam gambar, video dan mempunyai kecerdasan buatan (Ai) diharamkan kerana tidak mahu rahsia operasi didedahkan. Video atau gambar yang dirakam mungkin boleh digodam sehingga diakses musuh.
Sementara itu penggunaan fon kepala dan fon telinga bluetooth hanya dibenarkan selepas menerima kebenaran rasmi. Ini mungkin berkait rapat dengan laporan jutaan aksesori bluetooth yang menyokong Google Fast Pair mempunyai kerentanan sehingga mikrofon boleh diakses tanpa disedari bagi tujuan intipan.
Tentera Amerika Syarikat sudahpun mengharamkan penggunaan dron DJI dan jam tangan dengan GPS yang mendedahkan lokasi markah di Afghanistan. Sementara itu di Israel pula, anggota tentera diharamkan menggunakan peranti Android kerana sistem dikatakan tidak sebaik iPhone. Sungguhpun begitu cermin mata dan set kepala AR bagi kegunaan tentera sedang dibangunkan oleh Anduril dengan kerjasama Meta.


