Apple Intelligence Ditambah Baik Dengan Ciri Baharu Seperti Spatial Reframing

TechnologyDigital
9 Jun 2026 • 11:34 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

WWDC tidak akan lengkap tanpa pengumuman mengenai apakah yang dipertingkatkan pada Apple Intelligence. Sebelum ini Apple mengesahkan Apple Intelligence akan menggunakan model asas Gemini sebagai asas. Di WWDC Craig Federighi menekankan Apple Intelligence bukan sekadar menyalin tampal terus Gemini ke ekosistem Apple tetapi sebaliknya menggunakan data yang dilatih semula bagi memenuhi keperluan Apple.

Image from: Apple Intelligence Ditambah Baik Dengan Ciri Baharu Seperti Spatial Reframing

Seperti yang telah ditulis awal pagi tadi, ciri pertama yang diberikan tumpuan ialah Siri AI. Akhirnya Siri menggunakan Apple Intelligence untuk menawarkan pelbagai ciri yang dijanjikan di WWDC tahun lalu. Ia kini lebih bijak menjawab soalan, memahami konteks, melakukan perbualan berantai dan banyak lagi. Siri AI juga kini menjadi aplikasi sendiri dengan ia boleh digunakan pada peranti iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27 dan visionOS 27. Tiada sokongan untuk tvOS dengan sebab akan disentuh di perenggan akhir.

Demo paling menarik ialah dalam aplikasi Photos menerusi ciri Spatial Reframing, Extend Tool dan Clean Up baharu. Spatial Reframing menggunakan maklumat spatial untuk mengubah sudut gambar asal yang diambil. Kamera boleh diubah kedudukan dan objek akan turut berubah sekali untuk menghasilkan gambar janaan Apple Intelligence baharu. Ciri yang sangat berguna sekiranya gambar diambil orang tidak menepati apa yang anda mahukan.

Image from: Apple Intelligence Ditambah Baik Dengan Ciri Baharu Seperti Spatial Reframing

Extend Tool membesarkan gambar daripada bingkai asal. Sekali lagi ia menjana ruang lebih besar pada gambar mungkin kerana kamera terlalu hampir degan subjek. Clean Up pula membuang elemen dalam gambar dengan lebih tepat. Tahun lalu tular video Clean Up dalam Photos tidak boleh menjana tangan dan wajah di belakang telefon yang dipadam.

Bagi yang gemarkan ciri Image Playground pula, gambar yang dijana kini lebih realistik atau mengikut gaya tertentu. Ia kemudiannya boleh digunakan sebagai imej belakang chat, Contact Posters dan digunakan sebagai gambar latar skrin telefon. Pengguna boleh menjana imej mengikut nisbah skrin ia ingin digunakan.

Image from: Apple Intelligence Ditambah Baik Dengan Ciri Baharu Seperti Spatial Reframing
Image Playground

Sebuah lagi ciri unik tiada pada peranti lain iaiah Call Context. Katakanlah anda menelefon pusat khidmat pelanggan syarikat penerbangan. Apple Intelligence memahami konteks dan akan memaparkan maklumat relevan seperti nombor penerbangan, tarikh perjalanan, dan nombor tempahan pada skrin. Tak perlu lagi buka emel di latar dan kemudian bertukar-tukar anda dua aplikasi untuk mencari maklumat diperlukan.

Image from: Apple Intelligence Ditambah Baik Dengan Ciri Baharu Seperti Spatial Reframing
Call Context

Safari juga kini lebih pintar menyusun tab secara automatik mengikut konteks, memberikan notifikasi penurunan harga atau stok baharu dan menukar kata laluan secara automatik sekiranya ia tertiris ke arena web.

Apple Intelligence baharu boleh digunakan oleh peranti dengan iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27 dan visionOS 27. Ciri janaan imej Image Playground pula mempunyai had penggunaan harian.

  • iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max
  • iPhone 16 & ke atas,
  • iPad mini (A17 Pro), iPad dengan cip M1 ke atas
  • MacBook Neo, Mac dengan M1 ke atas
  • Vision Pro
  • Apple Watch Series 10, Ultra 2, SE 3 (dengan iPhone yang serasi)

Tetapi untuk menggunakan model Apple Intelligence paling berkuasa pada peranti, anda perlu memiliki

  • iPhone Air
  • iPhone 17 Pro
  • iPad dengan M4 dan ke atas (serta memori 12GB RAM)
  • Mac dengan M3 dan ke atas (serta memori 12GB RAM)
Image from: Apple Intelligence Ditambah Baik Dengan Ciri Baharu Seperti Spatial Reframing