Apple Kenal Pasti Punca iPhone 15 Cepat Panas

Digital
2 Oct 2023 • 10:18 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Syarikat gergasi, Apple sudah mengenal pasti punca iPhone 15 cepat panas malah penyelesaian yang sewajarnya sudah diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

Baru sahaja dilancarkan pada 12 September lalu, namun keluaran terbaharu itu telah mengalami masalah dimana menjadi cepat panas daripada dijangkakan, termasuk pepijat dalam perisian iOS 17 yang akan ditambah baik dalam keluaran akan datang.

Menurut laporan Reuters, pihak Apple telah mengambil langkah sewajarnya dalam memperbaiki model terbaharu itu selepas mendapat aduan daripada pengguna.

Punca iPhone 15 cepat panas

image is not available

Jelasnya lagi, punca iPhone 15 cepat panas berkemungkinan akan berlaku untuk beberapa hari awal penggunaannya atau mengisi semula kandungan peranti kerana terdapat aplikasi menjalankan tugasan yang berat.

“Isu lain yang timbul adalah beberapa kemas kini kepada aplikasi pihak ketiga yang menyebabkan sistem tertekan akibat beban berlebihan,” katanya.

Difahamkan, majoriti pengguna iPhone 15 pro mengalami isu kepanasan yang melampau sehingga mencecah suhu 42 darjah Celsius.

Selain itu, terdapat kes di mana ia mencapai suhu yang dinyatakan selepas hanya dua minit perbualan FaceTime atau penggunaan Instagram Reels antara lapan hingga 10 minit dan menjadi terlalu panas untuk dipegang.

Malah, apa yang menghairankan lagi adalah ada segelintir pengguna mendakwa model tersebut menjadi panas apabila tidak digunakan serta telefon terlalu panas semasa mengecas.

image is not available

Pengguna juga mengadu mengenai telefon memasuki mod perlindungan dan menghentikan pengecasan kerana haba semasa mengecas, namun perlu diingatkan bahawa tidak semua pengguna mengalami masalah sama.

Bilangan aduan menunjukkan mungkin terdapat masalah dengan siri iPhone 15 Pro yang menggunakan cipset A17 Pro.

Susulan itu, Apple memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pembangun aplikasi bagi pembaikan yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan.

image is not available

Apple turut menegaskan isu tersebut tidak akan membahayakan keselamatan atau kecederaan dan tidak memberi kesan kepada prestasi jangka panjang telefon pintar terbabit.

Sumber: Reuters (Juby Babu)