Selain cip Apple M6 baharu untuk Mac Mini, semalam cip Apple M5 Ultra turut dilancarkan dengan prestasi yang melampau. Jika M6 ialah cip 2nm pertama Appple, M5 Ultra ialah cip quad-die pertama Apple yang menggabungkan dua cip Appe M5 Max menggunakan teknologi UltraFusion.
Apple M5 Ultra hadir dengan 36 teras CPU yang terdiri daripada 12 teras CPU super dan 24 teras CPU prestasi. GPU pula hadir dengan 80 teras setiap satunya mempunyai Neural Accelerator terbina. Ini memberikan prestasi satu bebenang 1.25x lebih tinggi dan prestasi multi bebenang sehingga 1.3x lebih tinggi berbanding M3 Ultra.

M5 Ultra ditawarkan dengan sokongan memori sehingga 512GB dengan lebar jalur mencecah 1.2TB/s bersamaan 50% lebih tinggi berbanding M3 Ultra. Ini membolehkan pemprosesan set data yang besar serta model bahasa raya (LLM) dengan ratusan bilion parameter.
Prestasi kecerdasan buatan (AI) pula ialah 4.3x lebih tinggi berbanding M3 Ultra sementara prestasi grafik pula sehingga 1.8x lebih baik. Peningkatan turut diberikan kepada Neural Engine kini dengan 32 teras. Cip mampu menjalankan 33 video 8K ProRes 422 pada 30 fps secara serentak bagi memudahkan proses suntingan video bagi pekerja bidang kreatif.
Apple M5 Ultra digunakan pada Mac Studio baharu yang akan ditawarkan di pasaran tertentu bermula 22 September.



