Mac Mini 2026 Malaysia: Kini dengan cip M6 dan M5 Pro, harga dari RM3,799

LocalTechnology
26 Aug 2026 • 12:57 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Mac Mini 2026 Malaysia: Kini dengan cip M6 dan M5 Pro, harga dari RM3,799

Apple kini memperkenalkan Mac Mini generasi baharu untuk tahun 2026. Meskipun tiada perubahan pada fizikalitinya, Mac Mini baharu menerima peningkatan prestasi agak ketara menerusi penggunaan cip M6 dan M5 Pro baharu.

Namun, harga permulaannya turut meningkat dengan signifikan, disebabkan krisis kekurangan RAM global yang sedang berlaku ketika ini. Mac Mini dengan cip M6 kini bermula RM3,799 di Malaysia iaitu RM1,300 lebih mahal berbanding harga pelancaran Mac Mini M4 pada 2024, yang ketika itu bermula RM2,499 sahaja.

Harga dan ketersediaan Mac Mini 2026 di Malaysia

Mac Mini terbaharu ini akan dibuka untuk tempahan awal di Malaysia bermula Khamis, 27 Ogos 2026, jam 9 pagi waktu Malaysia, menerusi kedai dalam talian Apple dan aplikasi Apple Store. Ia kemudiannya akan sedia untuk dibeli mulai 22 September, menerusi lokasi fizikal Apple Store dan pengedar sah Apple.

Di Malaysia, Mac Mini dengan cip M6 bermula pada harga RM3,799, manakala Mac Mini M5 Pro yang lebih berkuasa pula bermula pada RM7,499.

Model asas M6 hadir dengan CPU 12-teras, GPU 12-teras, RAM 16GB, serta storan SSD 256GB. Manakala model asas M5 Pro pula mendapat CPU 15-teras, GPU 16-teras, RAM 24GB, dan storan SSD 512GB.

Bagi yang mahukan konfigurasi paling tinggi, Mac Mini M5 Pro boleh dikonfigurasi sehingga CPU 18-teras, GPU 20-teras, RAM 64GB, storan SSD 8TB, serta Ethernet 10Gb. Konfigurasi maksimum ini berharga RM30,449.

Harga pendidikan turut disediakan, bermula RM3,399 untuk model M6, dan RM7,099 untuk model M5 Pro.

Apa yang baharu pada Mac Mini 2026?

Fizikaliti Mac Mini baharu ini masih tampilkan reka bentuk kompak yang bersaiz 5 x 5”. Tetapi, peningkatan paling besar pada Mac Mini terbaharu ini terletak pada bahagian dalam, iaitu cip yang digunakan. Model berkuasakan M6 kini mendapat CPU 12-teras dan GPU 12-teras peningkatan ketara berbanding konfigurasi asas M4 sebelum ini yang cuma menawarkan CPU dan GPU 10-teras.

Menurut Apple, cip M6 ini menawarkan prestasi CPU sehingga 40% lebih pantas, serta prestasi grafik sehingga 2x lebih pantas berbanding M4. GPU pada cip ini turut mendapat Neural Accelerators pada setiap teras, dilengkapi Dual 16-core Neural Engine. Apple mendakwa ini memberikan prestasi AI sehingga 4x lebih pantas berbanding Mac Mini M4 sebelumnya.

Apple turut mendakwa M6 mampu memproses prompt LLM sehingga 4.8x lebih pantas dalam LM Studio, serta pengiraan spreadsheet sehingga 1.5x lebih pantas dalam Microsoft Excel, berbanding M4. Untuk keperluan gaming pula, Apple mendakwa prestasi ray-tracing sehingga 2x lebih pantas dalam Cyberpunk 2077: Ultimate Edition.

Dari segi memori, Mac Mini M6 masih bermula dengan RAM 16GB, dan boleh dikonfigurasi sehingga 32GB. Storan SSD maksimum pula kekal pada 2TB. Namun, jalur lebar memori (memory bandwith) kini meningkat daripada 120GB/s pada M4, kepada sehingga 170GB/s pada M6.

Bagi keperluan tugasan yang lebih berat pula, Mac Mini M5 Pro menawarkan sehingga CPU 18-teras dan GPU 20-teras. Sebagai perbandingan, M4 Pro sebelum ini maksimum hanya pada CPU 14-teras dan GPU 20-teras. RAM pada M5 Pro ini pula boleh dinaik taraf sehingga 64GB, manakala storan SSD maksimum masih kekal pada 8TB. Jalur lebar memori turut meningkat, daripada 273GB/s pada M4 Pro kepada 307GB/s pada M5 Pro.

Apple mendakwa M5 Pro ini mampu memproses prompt LLM sehingga 4x lebih pantas dalam LM Studio, render ray-traced sehingga 1.4x lebih pantas dalam Blender, serta pemprosesan imej sehingga 1.5x lebih pantas dalam Affinity, berbanding M4 Pro.

Wi-Fi 7 dan Ethernet 2.5Gbps kini standard

Selain cip, turut ada beberapa peningkatan konektiviti yang diberikan pada Mac Mini baharu ini. Jika Mac Mini sebelum ini hadir dengan Gigabit Ethernet sebagai standard dengan pilihan Ethernet 10Gb, model 2026 ini kini mendapat Ethernet 2.5Gb yang lebih pantas secara standard. Pilihan untuk naik taraf kepada Ethernet 10Gb masih tersedia sekiranya diperlukan.

Sambungan wayarles turut dinaik taraf, daripada Wi-Fi 6E kepada Wi-Fi 7, dan daripada Bluetooth 5.3 kepada Bluetooth 6.

Di bahagian hadapan, anda masih akan dapat dua port USB-C jenis USB 3 berkelajuan sehingga 10Gbps, serta jek audio 3.5mm. Di bahagian belakang pula, terdapat tiga port Thunderbolt, HDMI, dan Ethernet. Versi M6 menggunakan Thunderbolt 4 dengan kelajuan sehingga 40Gbps, manakala versi M5 Pro pula menggunakan Thunderbolt 5 dengan kelajuan sehingga 120Gbps.

Mac Mini M6 menyokong sehingga tiga paparan luaran, dengan dua paparan pada 6K 60Hz dan satu paparan lagi pada 5K 60Hz. Manakala model M5 Pro pula mampu menggerakkan sehingga tiga paparan pada 6K 60Hz serentak.

Maklumat lanjut boleh anda dapatkan menerusi laman rasmi Apple Mac Mini 2026.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved