Apple MacBook Neo Untuk Siapa Sebenarnya?

TechnologyDigital
6 Mar 2026 • 7:30 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Hanya dua tahun lalu jika anda berkata kepada saya Apple akan melancarkan MacBook yang lebih murah daripada iPhone yang paling murah saya mungkin meminta anda melakukan ujian air kencing. Tetapi seperti yang saya tulis semalam, harga jualan MacBook Neo paling mercu (RM2899) adalah lebih murah berbanding harga iPhone 17e (RM2999).

image is not available

Apple jarang sekali dilabel sebagai syarikat “harga mampu milik”. Sama seperti “kelab dicintai Malaysia” dan “JDT” tidak akan muncul dalam karangan yang ikhlas. Ha ha saya berseloroh tetapi tahun 2026 telah dimulakan dengan kejutan memandangkan tahun ini harga peranti akan naik kerana ragnarok RAM yang dipacu oleh pembinaan pusat data AI.

Selepas kejutan harga reda, persoalan mula muncul di setiap sudut media sosial. Cukup kuasa ke? Berbaloi kah kalau beli? Untuk siapa sebenarnya?

Cukup Kuasa Ke?

Ini sudah terjawab pagi ini selepas markah penanda aras MacBook Neo telah muncul di laman Geekbench. Cip A18 Pro yang digunakan adalah sama seperti di iPhone 16 Pro Max pada tahun 2024 dan sebenarnya lebih berkuasa berbanding cip Apple M1 yang dilancarkan pada tahun 2020. Sukar untuk percaya cip untuk telefon pintar tahun 2025 adalah lebih padu daripada cip MacBook M1.

Sila gunakan carta di bawah untuk melihat perbandingan antara MacBook Neo dengan iPhone 16 Pro Max, iPhone 17 Pro, MacBook Air M1, MacBook Pro M1 Pro (16 inci) dan Samsung Galaxy S26 Ultra.

PerantiSatu TerasMulti Teras
MacBook Neo34618668
Apple iPhone 16 Pro Max33598129
Apple iPhone 17 Pro35608835
MacBook Air M123468342
MacBook Air M2 (GPU 10 teras)25979709
MacBook Pro M1 Pro (16 inci)244112,910
Samsung Galaxy S26 Ultra365110,819
image is not available

Saya sekarang menggunakan sebuah MacBook Pro M1 Pro (16 inci) untuk tugasan seharian dan saya boleh katakan pada anda walaupun laptop ini sudah berusia hampir 5 tahun, ia masih cukup berkuasa untuk kerja harian saya. Kaveat di sini ialah laptop saya mempunyai 16GB RAM dan bukan 8GB RAM yang digunakan pada MacBook Neo.

Sebagai mesin menaip, menulis, melakukan suntingan asas Photoshop, menghasilkan video CapCut dan menonton video dalam kapal terbang saya rasakan MacBook Neo adalah lebih daripada memadai. Cuma mungkin jumlah tab dibuka pada pelayar web perlu dikurangkan.

Sebelum menggunakan MBP M1 Pro ini saya menggunakan MacBook Air M2 dengan 8GB RAM. Jika anda bercadang membuka banyak tab pada pelayar web, 8GB RAM saya terus terang katakan adalah terlalu minima. Seperti minimum specs requirements untuk permainan video

Berbaloikah Kalau Beli?

image is not available

Berbaloi ialah sesuatu yang subjektif dengan ia berbeza antara setiap pengguna di muka bumi. Di bawah pada pendapat saya ialah Pro dan Kontra MacBook Neo

PRO

  • Sebuah MacBook dengan MacOS Tahoe 26.
  • Komputer riba dengan tubuh aluminium yang cantik bukannya plastik.
  • Rekaan cantik dengan pilihan warna ceria (saya pun tergoda dengan warna kuning).
  • Ketahanan bateri sehingga 16 jam.
  • Magic Keyboard yang sangat sedap untuk menaip.
  • Trackpad Apple yang terbaik dalam kelasnya.
  • Speaker dengan audio spatial.

KONTRA

  • Papan kekunci tidak berlampu.
  • Hanya 8GB RAM
  • Trackpad tiada sistem haptik.
  • Skrin kecil hanya 13″ berbanding 13.8″ pada sebuah MacBook Air.
  • Hanya 1x USB-c 3 dan 1 USB-C 2.0.

Ini Pro dan Kontra tetapi saya rasakan untuk mengatakan ia benar-benar berbaloi atau tidak ialah membandingkannya dengan sebuah laptop Windows 11 pada harga jualan yang setara. Selepas melakukan carian saya rasakan, HP Next Gen AI Laptop 15-FD1102TU ialah model yang paling serasi dibandingkan.

image is not available
HP Next Gen AI Laptop 15-FD1102TU
MacBook NeoHP Next Gen AI Laptop 15-FD1102TU
Skrin13″ Liquid Retina LCD
2408 x 1506 pixel
60Hz, 500 nit
15.6″ IPS LCD
1920 x 1080 pixel
60Hz, 300 nit
PemprosesApple A18 Pro (3 nm)
CPU 6 Teras
GPU 5 Teras
Intel Core Ultra 5 125H (7nm)
CPU 14 Teras
GPU 7 Teras
RAM8GB RAM
(Pateri)
16GB RAM DDR5-5600 MHz
(Pateri)
Storan256GB / 512GB SSD
(Pateri)
512GB SSD M.2
(Boleh ditukar)
Kamera Depan1080p FaceTime HD720p HP True Vision
Bateri36.5 Wh41 Wh
Papan KekunciMagic Keyboard
(Tiada lampu)
Papan kekunci dengan Numpad
(Berlampu)
Sistem BiometriTouch ID (Hanya model 512GB)Tiada
TelekomunikasiWi-Fi 6E
Bluetooth 6
Wi-Fi 6
Bluetooth 5.3
I/O1x USB-C 3 (10 Gbps)
1x USB-C 2.0 (480 Mbps)
1x Bicu audio 3.5mm
1x USB-C 3 (10 Gbps)
2x USB-A (5 Gbps)
1x HDMI 1.4b
1x Bicu audio 3.5mm
1x Palam kuasa AC
Sistem OperasiMacOS Tahoe 26Windows 11 Home
Berat1.23 kg2.29 kg
HargaRM 2499 (8/256GB)
RM 2899 (8/512GB)
RM 2649 (16/512GB)

Berdasarkan jadual di atas saya rasakan anda pasti bersetuju frasa “pasaran komputer mampu milik Windows 11 kini hancur musnah” disebabkan MacBook Neo adalah sekadar tidak berasas. HP Next Gen AI Laptop 15 mempunyai skrin lebih besar, papan kekunci berlampu, lebih banyak port I/O, bateri lebih besar, RAM lebih besar dan SSD M.2 yang boleh dinaik taraf. Jika bijak mencari,ada komputer riba Windows 11 di luar sana yang menawarkan nilai yang lebih untuk wang yang dibelanjakan.

Untuk Siapa Sebenarnya?

image is not available

Jadi untuk siapakah sebenarnya MacBook Neo? Jawapan saya ialah untuk ibu bapa yang ingin memberikan MacBook pertama untuk anak mereka. Anak saya sejak dari kecil menggunakan iPad dan MacBook Intel lama yang saya miliki. Untuk naik taraf, MacBook Neo ialah pilihan selamat sebelum dia pergi kepada MacBook Air atau MacBook Pro di universiti.

Ia bukan untuk orang seperti saya kerana skrin kecil, papan kekunci tiada lampu, 8GB RAM dan trackpad tanpa haptik (jika anda pernah menggunakan haptik anda tidak boleh hidup tanpanya). Jika anda merasakan anda seorang pengguna tegar MacBook Neo sudah pasti bukan untuk anda.

Sebagai alternatif saya ada terjumpa MacBook Air M2 (8 teras) dengan 16GB RAM dan 256GB SSD dijual pada harga RM3,299. Sedikit lebih mahal tetapi semua KONTRA yang saya tulis di atas diselesaikan dengan model ini.