Bersama-sama dengan pengenalan cip pemprosesan baharu, Apple memperkenalkan beberapa peranti baharu yang dikemaskini dengan cip berkenaan, termasuk Apple MacBook Pro bersaiz 14-inci. Model asas MacBook Pro ini kini menyertakan cip Apple M5 bersama dengannya.

Dengan kemas kini cip ini, ia menawarkan prestasi perkomputeran yang lebih berkuasa, dan turut dioptimasikan dalam menjalankan sebarang perkara melibatkan kecerdasan buatan. Tidak setakat itu, Apple mengatakan MacBook Pro 14-inci ini kini menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 24 jam lamanya.

MacBook Pro 14-inci ini turut hadir dengan kamera 12-megapixel Center Stage untuk panggilan video, selain dikatakan menyertakan SSD yang lebih laju. Melengkapkan komputer riba ini adalah paparan Liquid Retina XDR. Ia hadir terbina dengan sistem operasi macOS Tahoe.
Pilihan I/O ialah port pengecasan MagSafe 3, 3x USB-C Thunderbolt 4 , 1x HDMI, 1x pembaca kad SDXC dan 1x bicu audio 3.5mm. Speaker dengan audio spatial juga dikekalkan pada bahagian atas, papan kekunci Magic Keyboard bersama dengan pengimbas Touch ID pada butang kuasa. Dengan kata lain tiada perubahan fizikal dilakukan jika dibandingkan MacBook Pro 14-inci M4 yang masih lagi dijual.

Di Malaysia, MacBook Pro 14-inci dengan cip M5 (16/512GB) ditawarkan pada harga RM6999 dengan ia meningkat ke RM 13,799 untuk model (32GB/ 4TB) dengan iua dijangka akan ditawarkan dalam masa terdekat.




